PENGARAH Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee. FOTO Arkib NSTP
PENGARAH Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee. FOTO Arkib NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Cuaca sejuk ekstrem sekitar 5 darjah Selcius dan boleh jatuh hingga ke -5 darjah Selcius di Mongolia pada hujung Oktober ini, antara ujian terbesar perlu dihadapi skuad bawah 20 (B-20) tahun negara pada Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 itu nanti.

Disebabkan cuaca terlampau itu, skuad muda negara bakal dibekalkan dengan pakaian 'kalis sejuk' seperti baju tight lengan panjang lebih tebal untuk dipakai pemain selain sarung tangan bagi menahan kesejukan ketika beraksi.

Berkongsi perkara itu, Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee mengakui, pakaian jenis itu amat diperlukan buat pemain negara yang tidak pernah beraksi di bawah cuaca sejuk seperti itu.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman lalu ketika beliau membimbing skuad B-23 negara di pusingan akhir Kejuaraan AFC di China pada 2018 lalu, pemain negara terpaksa memakai pakaian tambahan dan sarung tangan kerana terlalu sejuk.

"Kami dah ada pengalaman pada 2018 dulu dan kebetulan masa itu, Brad Maloney adalah penolong jurulatih, jadi beliau tahu akan suasana sebenar sejuk di China dan Mongolia akan alami cuaca tidak jauh beza.

"Kami akan bekalkan pakaian tambahan yang tidak tebal untuk dipakai di dalam dan sarung tangan. Tapi itu terpulang kepada keselesaan pemain sama ada nak pakai atau tidak," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Beliau berkata, berdasarkan perancangan, skuad negara yang akan mempertaruhkan pemain B-20 di kelayakan AFC B-23 itu dijangka berlatih selama seminggu di China bagi membiasakan diri dengan suasana termasuk soal pemakanan.

Menurutnya, latihan di negara mempunyai iklim sejuk itu diharap dapat membantu pemain negara membiasakan diri sebelum masuk ke Mongolia tiga atau dua hari sebelum kejohanan bermula.

"Tapi kalau tak dapat, kami akan pergi terus ke Mongolia dan berlatih selama seminggu di sana bagi membolehkan pemain menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk kerana ada pemain tak selesa pakai sarung tangan dan sebagainya.

"Kami nak kena tengok makanan halal di sana kerana tahu Mongolia jarang menjadi tuan rumah untuk mana-mana kejohanan antarabangsa.

"Jadi persiapan amat penting untuk pastikan pemain selesa sepanjang menghadapi kelayakan itu," katanya.

Sebelum ini, Arena Metro mendedahkan pengendali pasukan, Brad Maloney mengakui sedang memilih beberapa negara dalam wilayah Tibet seperti Nepal, China atau Mongolia untuk diadakan latihan pusat terakhir.

Bagaimanapun, sekiranya kedudukan Malaysia dalam Kumpulan J berubah selepas 11 Ogos ini, perancangan awal itu akan dirombak semula.

Terdahulu, AFC mengesahkan Korea Utara menarik diri daripada kelayakan itu dan menyaksikan undian bagi semua pasukan di Zon Timur akan dilakukan semula.

Skuad negara yang diletakkan dalam kumpulan mudah bersama dua lagi pasukan Asean iaitu Thailand, Laos dan Mongolia bakal berdepan lawan lebih kuat seperti Australia, Jepun mahupun Korea Selatan pada undian semula itu nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 5:54 PM