GUESSAN (kanan) cuba menghalang bola tandukan pemain JDT, Natxo Insa pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. FOTO Ihsan Perak FC
GUESSAN (kanan) cuba menghalang bola tandukan pemain JDT, Natxo Insa pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. FOTO Ihsan Perak FC
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Perak FC, Chong Yee Fatt hilang kata-kata selepas skuad bimbingannya dibelasah Johor Darul Ta'zim (JDT) 0-5 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Yee Fat berkata, pemain Perak FC terlalu menghormati JDT yang dibarisi pemain berkemahiran individu dan bermain secara berpasukan menjadi punca kegagalan pemainnya mengimbangi kekuatan skuad Harimau Selatan.

Tambahnya, apa yang diharapkan Perak FC bukan tewas dengan jaringan yang banyak kerana pemain bagaikan hilang punca dan tidak mampu untuk bersaing dengan corak permainan tersusun yang dipamerkan anak didik Benjamin Mora

"Kami datang ke Stadium Sultan Ibrahim dengan keazaman yang positif selepas mencatat keputusan seri 0-0 dengan Kuala Lumpur City FC, baru-baru ini. Tapi pemain hilang fokus dan gagal pamer aksi konsisten.

"Selepas JDT jaringkan gol pada babak pertama, pemain saya langsung tidak beri tekanan untuk mencari gol penyamaan, sebaliknya lebih gemar bertahan sehingga tamat aksi pertama. Mereka seolah-olah takut buat serangan.

"Mereka tidak beraksi seperti biasa, walaupun strategi yang diterapkan untuk lancar serangan balas tapi mereka tidak lakukan. Apa yang saya ingin katakan, mereka tidak beraksi dengan corak permainan yang sering ditampilkan," katanya.

Ditanya mengenai persembahan pemain import Ghislain Guessan yang tampak tidak memainkan peranan penting selaku penyerang The Bos Gaurus, Yee Fatt sendiri kecewa kualiti bekas pemain bawah 20 tahun, Ivory Coast itu.

Katanya, corak permainan statik dan tidak memberi tekanan terhadap benteng JDT menyebabkan pemain itu dikeluarkan dan menggunakan penyerang tempatan yang tampak berusaha untuk mengasak benteng lawan.

Mengulas mengenai kedudukan Perak yang masih kekal di dasar liga, Yee Fatt tetap optimis Perak FC akan kekal dalam saingan Liga Super walaupun hanya berbaki enam perlawanan sebelum liga melabuh tirai.

"Untuk berada di kedudukan selamat, kami harus menang baki enam perlawanan, walaupun kami sedar ia sukar namun itu sahaja jalan terbaik jika mahu kekal dalam saingan liga dan kami anggap setiap aksi nanti ibarat final," kata Yee Fatt.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 11:32 AM