VARANE berpindah ke Old Trafford dengan harga RM282 juta. FOTO Agensi
VARANE berpindah ke Old Trafford dengan harga RM282 juta. FOTO Agensi
AFP

London: Manchester United mencapai persetujuan dengan Real Madrid untuk menandatangani pertahanan tengah Perancis Raphael Varane, umum kelab gergasi Liga Perdana itu awal pagi tadi.

"Manchester United gembira mengumumkan kelab bersetuju dengan Real Madrid mengenai perpindahan pertahanan antarabangsa Perancis dan pemenang Piala Dunia, Raphael Varane bergantung kepada pemeriksaan perubatan dan terma peribadi pemain,'' kata kenyataan kelab.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Varane boleh menjalani ujian perubatan minggu depan susulan peraturan pencegahan koronavirus di United Kingdom.

Jumlah yuran tidak didedahkan tetapi media British melaporkan jumlah sebelum ini iaitu £34 juta (RM198 juta) meningkat £48 juta (RM282 juta) dengan tambahan lain.

Varane berusia 28 tahun yang juga pemenang Piala Dunia 2018 mempunyai baki semusim kontrak di Santiago Bernabeu.

Madrid dalam kenyataannya pula mengesahkan mereka bersetuju dengan yuran ditetapkan bersama United selain turut menghargai sumbangan Varane: "Kami berterima kasih kepada Varane di atas sikap profesionalismanya dan menjadi contoh sepanjang sepuluh musim bersama kami. Dia membantu kami menjuarai 18 gelaran: 4 Liga Juara-Juara, 4 Piala Dunia Kelab, 3 Piala Super Eropah, 3 La Liga, 1 Piala Raja Sepanyol dan 3 Piala Super Sepanyol.

''Real Madrid menyanjungi sumbangan Raphael Varane dan berterima kasih kepada keluarganya. Kami berharap dia lebih berjaya selepas ini.''

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 8:26 AM