HENDERSON ketika menjulang trofi Liga Perdana Inggeris. FOTO AFP
HENDERSON ketika menjulang trofi Liga Perdana Inggeris. FOTO AFP
Agensi

London: Jordan Henderson berdepan masa depan tidak menentu dengan beberapa kelab utama Eropah bersedia untuk mendapatkan khidmat kapten Liverpool itu.

Henderson yang juga pemain antarabangsa England, sudah memasuki dua tahun terakhir kontraknya di Anfield dan wakilnya mengadakan perbincangan dengan pengurusan kelab mengenai lanjutan kontrak sebelum Kejohanan Eropah.

Bagaimanapun difahamkan perbincangan itu tidak seperti diharapkan dan tidak pasti sama ada perbincangan akan diteruskan lagi.

Pemain berusia 31 tahun itu hanya salah satu daripada lima pemain yang sudah beraksi selama 10 musim bersama Liverpool dan dia menjadi watak penting kejayaan skuad bimbingan Jurgen Klopp.

Bagaimanapun kini terdapat kemungkinan dia akan meninggalkan Liverpool dengan Atletico Madrid dan Paris Saint-Germain (PSG) sedang mengekori rapat situasinya dan akan menyambar Henderson jika memperoleh peluang.

Pengurus PSG, Mauricio Pochettino sangat meminati gaya permainan agresif Henderson dan mahu menambah kekuatan dalam kelab yang disasarkan untuk memenangi Liga Juara-Juara.

Kelab Perancis itu yang mahu merampas semula kejuaraan Ligue 1 daripada Lille dilihat tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan Henderson sekali gus berpeluang kembali bersama bekas rakan sepasukannya di Liverpool, Gini Wijnaldum.

Henderson menjulang trofi Liga Juara-Juara pada Jun 2019 di Stadium Metropolitano milik Atletico Madrid dan kualiti yang ada padanya juga menarik minat Atletico.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 10:47 PM