V ANNIL bersama kelabnya di Jerman, SGV Freiburg.
V ANNIL bersama kelabnya di Jerman, SGV Freiburg.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selain berkemampuan beraksi di bahagian pertahanan, rupa-rupanya pemain baharu skuad bawah 20 (B-20) tahun negara yang berpangkalan di Jerman, V Annil turut mampu bermain di posisi serangan.

Perkara itu dimaklumkan kelabnya, SGV Freiburg yang mengesahkan Annil sudah meledak beberapa gol buat kelab divisyen lima Jerman itu.

Menerusi satu posting di laman sosial kelab terbabit, aksi Annil mendapat pujian barisan kejurulatihan dan percaya pemain kelahiran Kajang, Selangor itu mampu beraksi di pentas Eropah.

"Persembahan mengagumkan dan perkembangan pembangunan yang semakin menunjukkan peningkatan sejak setahun lalu. Annil berasal dari Malaysia. Penyerang yang bagus dan seorang tonggak pertahanan tengah. Setiap pasukan pasti akan gembira untuk dapatkan tandatangan pemain ini," tulis kelab itu.

Difahamkan, Annil yang sudah beberapa tahun berkelana di Jerman pernah dipanggil kelab terkemuka Belanda, Ajax Amsterdam untuk mengikuti latihan intensif selama tiga bulan di sana.

Lantas menerusi perkembangan itu, skuad negara kendalian Brad Maloney kini mempunyai opsyen tambahan di jentera depan dengan Annil mampu beraksi di dua posisi.

Arena Metro hari ini melaporkan, Maloney yang juga pengendali skuad B-20 tahun negara mengakui akan memanggil Annil pada kem latihan pasukan nanti bagi memperkuatkan barisan pertahanan negara.

Skuad muda negara dijadual mengharungi kempen Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Mongolia dari 27-31 Oktober ini.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama dua lagi pesaing dari rantau Asia Tenggara iaitu Laos dan Thailand serta Mongolia selaku tuan rumah.

Juara dari setiap 11 kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak secara automatik ke pusingan akhir di Uzbeskitan yang bakal diadakan dari 1-19 Jun tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 9:38 PM