Koleksi pasukan England
Koleksi pasukan England
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Setiap individu mempunyai minat yang berbeza malah sanggup berhabis berpuluh ribu demi memastikan impian memiliki barangan terutama pakaian yang diminati tercapai.

Perkara terbabit dikongsi oleh seorang pengumpul jersi pasukan bola sepak luar negara Zainal Abas, 40, yang kini memiliki koleksi kira-kira 500 jersi pasukan negara lain yang dikumpul sejak 10 tahun.

Malah, Zainal juga mempunyai beberapa koleksi jersi yang boleh dianggap sebagai 'rare' berikutan agak sukar untuk memperolehnya hingga harga boleh mencecah RM1,500 sehelai.

Zainal yang menjalankan perniagaan percetakan berkata, antara koleksi paling banyak dimiliki ketika ini adalah jersi pasukan Jerman dan England.

Katanya, koleksi jersi miliknya itu kebanyakannya dibeli menerusi jualan lelong atas talian dan juga di kedai pakaian terpakai selain turut membelinya daripada rakan yang turut berkongsi minat sama.

Zainal bersama koleksi jersi pelbagai negara yang dimiliki.
Zainal bersama koleksi jersi pelbagai negara yang dimiliki.

"Jika diikutkan ada lebih 500 jersi dalam simpanan saya dengan purata setiap harga adalah dalam lingkungan RM100 hingga RM500 sehelai.

"Boleh dikatakan saya sudah menghabiskan lebih RM50,000 untuk membeli koleksi jersi berkenaan namun tidak mengapa kerana semuanya adalah kerana minat.

"Paling saya sayang adalah jersi lengan panjang pasukan Jerman yang dipakai pada perlawanan Piala Dunia 1990.

Jersi Jerman yang paling disayang Zainal
Jersi Jerman yang paling disayang Zainal

"Sebenarnya bukan mudah untuk membeli jersi yang dianggap 'rare' kerana ramai juga yang mahu memilikinya selain harga ditawarkan juga agak mahal," katanya, yang meminati pasukan Jerman.

Selain itu, katanya, musim kejohanan Euro dan Piala Dunia boleh dikatakan durian runtuh apabila koleksi miliknya dicari oleh pengumpul daripada seluruh dunia.

Jersi Jerman antara koleksi terbanyak Zainal.
Jersi Jerman antara koleksi terbanyak Zainal.

"Ada beberapa helai jersi saya akan jual menerusi platform beli belah atas talian ebay dengan kebanyakan dijual mencecah empat kali ganda daripada harga asal.

"Setakat ini lebih 50 helai sudah terjual kepada pengumpul jersi lama dari luar negara sekali gus saya melihat minat ini juga boleh menjana pendapatan sampingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 10:03 PM