GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Saint Petersburg: Tuan rumah Euro 2020 di Russia, Saint Petersburg, hari ini merekodkan kes kematian Covid-19 tertinggi sejak bermulanya pandemik itu, menurut data.

Perangkaan rasmi menunjukkan bandar raya itu yang menganjurkan enam perlawanan Euro 2020 dan bakal menjadi hos aksi suku akhir pada Jumaat ini, merekodkan 107 kematian akibat virus itu dalam tempoh 24 jam terakhir.

Agensi berita Russia menyatakan, ia adalah kes kematian tertinggi di mana-mana bandar di Russia sejak bermulanya wabak berkenaan.

Di Saint Petersburg, ramai penyokong Finland dijangkiti Covid-19 selepas mereka datang ke bandar itu ketika pasukan terbabit tewas kepada Belgium.

Kes baharu Covid-19 di Russia meningkat mendadak sejak pertengahan Jun disebabkan varian Delta yang kali petrama dikesan di India.

Sebanyak 21,665 kes baharu direkodkan di negara itu, hari ini, iaitu jumlah tertinggi sejak Januari lalu.

Peningkatan mendadak itu berlaku selepas pegawai di Moscow mempercepatkan suntikan vaksin dalam kalangan rakyat negara itu, selepas melonggarkan banyak larangan terhadap virus itu, hujung tahun lalu.

"Untuk menghentikan pandemik ini, satu perkara perlu dilakukan iaitu vaksinasi berskala besar dan pantas. Tiada orang mendapat penyelesaian lain," kata Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin menerusi televisyen, hari ini.

"Untuk menyelesaikan masalah ini, anda perlu mendapatkan vaksin atau menjalani perintah berkurung," katanya.

Russia melaporkan 619 kematian baharu akibat wabak itu, semalam, iaitu jumlah kematian tertinggi sejak Disember dan menjadikan 132,683 kematian sejak pandemik itu bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 8:24 PM