Pemain England, Jordan Henderson (tengah) terhibur dengan persembahan Ed Sheeran. FOTO AFP
Pemain England, Jordan Henderson (tengah) terhibur dengan persembahan Ed Sheeran. FOTO AFP
AFP

London: Skuad Euro 2020 England disajikan hiburan ekslusif oleh bintang pop, Ed Sheeran ketika tempoh rehat mereka menjelang aksi 16 terakhir menentang Jerman.

Skuad kendalian Gareth Southgate menduduki tempat pertama Kumpulan D dengan kemenangan 1-0 ke ATAS Republik Czech pada Selasa sebelum mengetahui mereka mungkin berdepan Jerman pada saingan kalah mati.

Sebelum memberi tumpuan mereka kepada perlawanan berdepan seteru tradisi di Wembley, Southgate dan anak buahnya dihiburkan oleh Sheeran menerusi konsert akustik luar dewan di kem latihan mereka dekat St George's Park semalam.

Sheeran penyanyi yang popular menerusi lagu 'Shape of You' adalah antara pemuzik terkenal di dunia, yang diberikan kebenaran khas untuk memasuki kem latihan skuad England.

Sheeran, 30, adalah peminat pasukan Liga Satu Inggeris, Ipswich dan pemenang Grammy Award berada di Wembley untuk menyaksikan perlawanan peringkat kumpulan England menentang Scotland yang berakhir dengan 0-0.

Pemain tengah England, Jordan Henderson berkata amat istimewa dapat bertemu dengan Sheeran dan melihat persembahannya.

"Saya akui dia seorang yang hebat. Dia begitu bersahaja dan sebagai penghibur semua orang tahu bertapa bagusnya dia," kata Henderson.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 1:27 AM