KAPTEN England, Harry Kane gagal menjaringkan gol selepas tiga aksi Kumpulan D walaupun England layak ke pusingan kalah mati sebagai juara kumpulan. FOTO EPA
KAPTEN England, Harry Kane gagal menjaringkan gol selepas tiga aksi Kumpulan D walaupun England layak ke pusingan kalah mati sebagai juara kumpulan. FOTO EPA
Agensi

London: England melangkah ke pusingan kalah mati Euro 2020 selaku juara Kumpulan D dan tidak bolos, tetapi prestasi jentera serangan tetap perlu diberi perhatian.

Malah, prestasi kapten, Harry Kane sekali lagi dinilai rendah pada ketika England menewaskan Republik Czech 1-0 di Wembley, semalam.

Setakat ini, Raheem Sterling menjaringkan kedua-dua gol buat anak buah Gareth Southgate melakar kemenangan ke atas Czech dan kemenangan 1-0 mengatasi Croatia pada perlawanan pertama.

Pasukan the Three Lions itu masih bergelut untuk mengekalkan prestasi dan mereka memanfaatkan penguasaan babak pertama untuk gol tunggal itu, tetapi kurang bermaya pada aksi babak kedua.

Pada ketika mereka memungut tiga mata dan tidak bolos - kali kelima berturut-turut - jentera serangan England sekali lagi tumpul dan tidak mampu mencipta peluang jaringan pada babak kedua.

Kane gagal menemui sentuhan penyudah dan gagal untuk mencipta percubaan ke gawang lawan pada dua perlawanan awal menentang Croatia dan Scotland.

Penyerang berbisa Tottenham itu sekali lagi gagal menemui sasaran ketika menentang Czech, menggambarkan ketumpulan jentera penyudah pada ketika England hanya menjaringkan empat gol daripada lima perlawanan terakhir.

Kane dikritik akhbar sukan ternama Perancis, L'Equipe , yang hanya memberikan pemain itu penilaian terendah dalam skuad Southgate.

Prestasi penyerang berusia 27 tahun itu dinilai empat daripada 10 dan diatasi empat pemain Czech, sekali pun mereka kecundang.

Kane bukan saja gagal terbabit membantu dalam gol tunggal pasukannya itu, statistiknya sepanjang perlawanan kini menimbulkan tanda tanya.

Dia hanya menyempurnakan 59 peratus hantaran dan menyentuh bola sebanyak 46 kali dan hilang bola 18 kali.

Kane hanya dua kali menyentuh bola dalam kotak penalti lawan dan dilihat lebih banyak turun ke bawah untuk mengambil bola.

Penyerang itu menyempurnakan peranan sebagai perancang dengan cemerlang di Spurs, musim lalu, tetapi gagal menyerlahkannya bersama England dan lebih banyak bergerak di kawasan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 1:48 AM