PEMAIN Denmark (dari kiri), pertahanan, Simon Kjaer; penyerang, Yussuf Poulsen dan pertahanan, Jannik Vestergaard berlatih menjelang perlawanan dengan Belgium, hari ini. FOTO AFP
PEMAIN Denmark (dari kiri), pertahanan, Simon Kjaer; penyerang, Yussuf Poulsen dan pertahanan, Jannik Vestergaard berlatih menjelang perlawanan dengan Belgium, hari ini. FOTO AFP
AFP

Paris: Denmark menanti pasukan di ranking nombor satu dunia, Belgium pada aksi Euro 2020, hari ini, dengan igauan dan trauma selepas insiden pemain tengah, Christian Eriksen rebah di padang pada perlawanan pembukaan kejohanan, Sabtu lalu.

Lima hari selepas Eriksen memerlukan bantuan perubatan kecemasan untuk menyelamatkan nyawanya di Stadium Parken di Copenhagen, Denmark menentang pendahulu Kumpulan B, Belgium sambil cuba memadamkan kekecewaan tewas tipis 0-1 kepada Finland.

"Ia penuh dengan emosi apabila kembali ke Parken, kami menjangkakan akan mendapat sokongan hebat daripada penyokong di stadium dan seluruh negara," kata jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand.

"Kami harus bersedia untuk itu dan gunakan tenaga itu ke arah sesuatu yang positif."

Penyokong Denmark akan berdiri dan memberi penghormatan sebagai tanda sokongan kepada Eriksen selama seminit pada minit ke-10.

"Apa yang menarik, Christian kini berada di hospital tidak jauh dari stadium. Dia boleh nampak stadium dan boleh mendengar apa yang yang berlaku di sini," kata Hjulmand.

Eriksen, 29, akan dipasang alat bantuan jantung selepas mengalami jantung terhenti pada perlawanan pembukaan itu.

"Selepas Christian menjalani beberapa pemeriksaan jantung, keputusan dibuat untuk dia memakai ICD (pemula jantung)," kata Kesatuan Bola Sepak Denmark menjelang perlawanan penting itu.

Selepas tewas tipis kepada Finland apabila perlawanan Sabtu lalu disambung, Denmark kini perlu mengatasi Belgium atau sekurang-kurangnya mencuri satu mata untuk layak ke pusingan kalah mati.

Sementara itu, penyerang Belgium, Romelu Lukaku, yang menjaringkan dua gol ketika menang 3-0 ke atas Russia dan menyampaikan pesanan sokongan kepada Eriksen menerusi kamera televisyen di tepi padang berkata, pemain akan menyepak bola ke luar untuk penghormatan selama seminit itu.

"Beberapa pemain kami pernah bermain dengannya. Tetapi, kami turun padang untuk memburu kemenangan dan sudah pasti ia sukar," kata Lukaku yang juga rakan sepasukan Eriksen di Inter Milan.

Belgium, yang mara ke pusingan kalah mati jika menang kini boleh menurunkan Kevin De Bruyne yang pulih daripada kecederaan muka di final Liga Juara-Juara Eropah, bulan lalu.

"Semuanya kini jelas buat Kevin De Bruyne. Dia sudah cergas daripada aspek perubatan dan diberikan kebenaran untuk beraksi," kata jurulatih, Roberto Martinez.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 8:04 PM