KAI Havertz, Kevin Volland, Timo Werner dan Thomas Mueller pada sesi latihan skuad Jerman di Seefeld, Austria. FOTO AFP
KAI Havertz, Kevin Volland, Timo Werner dan Thomas Mueller pada sesi latihan skuad Jerman di Seefeld, Austria. FOTO AFP
AFP

Berlin: Meledakkan gol kemenangan ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara, bintang Chelsea Kai Havertz berharap prestasinya bersama kelab dapat memberi peluang kepadanya untuk berada dalam senarai kesebelasan utama Jerman di Euro 2020.

Havertz, akan berusia 22 tahun apabila saingan Kejuaraan Eropah bermula minggu depan, mempamerkan bakat luar biasa apabila menewaskan penjaga gol Manchester City untuk menjaringkan gol tunggal buat Chelsea menjulang piala Liga Juara-Juara dengan kemenangan 1-0 minggu lalu.

Gol pertamanya dalam kariernya di Liga Juara-Juara menjadi penentu pada perlawanan akhir di Porto itu nyata mengecewakan City.

"Secara peribadi ia sangat penting bagi saya, untuk kelab dan juga keluarga. Ia akan kekal bersama saya seumur hidup," kata Havertz semalam selepas beberapa hari menyertai kem latihan Jerman di Austria.

"Saya perlukan keyakinan diri, ketika itulah saya bermain pada tahap terbaik dan itu yang membawa saya ke Kejuaraan Eropah."

Jurulatih Jerman, Joachim Loew menggambarkan Havertz sebagai pemain yang memiliki "bakat luar biasa."

Terdapat persaingan dalam merebut tempat di bahagian penyerang tengah dalam skuad Jerman antara penyerang veteran Thomas Mueller, 31, yang dipanggil semula dalam skuad kebangsaan selepas dua tahun tidak beraksi di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 9:00 AM