Dion Cools beraksi bersama FC Midtylland.
Dion Cools beraksi bersama FC Midtylland.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe terus mengambil sikap kunci mulut apabila enggan mendedahkan kehadiran seorang lagi pemain kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 Jun depan.

Tindakan terbabit dipercayai mahu memastikan Cools sudah berada bersama pasukan sebelum pengumuman rasmi dibuat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Kami tidak mahu komen apa-apa pasal Cools kerana fokus utama sekarang ini adalah kepada 25 pemain yang ada," katanya, dalam sidang media secara atas talian.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Skuad Harimau Malaya akan lebih 'mengaum' pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 Jun depan apabila diperkuatkan dengan kehadiran Cools.

Beraksi di bahagian pertahanan, kehadiran Cools tepat pada masanya dalam membantu Cheng Hoe memperkukuhkan bek negara yang dilihat agak goyah terutama selepas tewas kepada Kuwait 4-1 pada perlawanan persahabatan Ahad lalu.

Arena Metro yang menghubungi sumber mengesahkan bahawa pemain beraksi di liga utama Denmark FC Midtylland akan bersama pasukan negara hujung minggu ini selepas beberapa proses berkaitan selesai.

Cools dikhabarkan bakal menyertai skuad Harimau Malaya di Dubai sebaik diberikan pelepasan oleh kelabnya FC Midtylland.

Nama pemain yang lahir di Kuching, Sarawak itu diumumkan menerusi laman web rasmi kelab terbabit dengan menyenaraikan Cools antara dilepaskan untuk beraksi dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 Jun depan.

Menerusi kenyataan rasmi kelab yang beraksi di liga utama Denmark itu Cools tersenarai antara 16 pemain dipanggil bagi mewakili pasukan negara dalam perlawanan kelayakan ataupun perlawanan persahabatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 9:38 PM