RONALDO kini bersama Juventus. FOTO AFP
RONALDO kini bersama Juventus. FOTO AFP
Agensi

London: Cristiano Ronaldo sedang mempertimbangkan dengan serius untuk kembali ke Manchester United selepas meninggalkan Old Trafford 11 tahun lalu.

Bintang Portugal itu sering dikaitkan akan kembali ke United selepas memenangi tiga gelaran Liga Perdana, Liga Juara-Juara, Piala FA dan Piala Liga sebanyak dua kali sepanjang enam tahun di bawah bimbingan Alex Ferguson.

The Athletic melaporkan United sedang memerhatikan situasi Ronaldo di Juventus di mana jika kelab itu gagal layak ke Liga Juara-Juara musim depan, ia akan menguatkan lagi alasan Ronaldo untuk berhijrah.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer juga masih berhubung dengan bekas rakan sepasukannya itu.

United sudah memberi isyarat kepada Ronaldo bahawa kelab itu sedia untuk menandatanganinya pada hujung musim ini dan pemain berusia 36 tahun itu bersetuju dengan perancangan kelab berkenaan.

Terdapat laporan menyatakan jika Juventus gagal meraih tiket di saingan Eropah, tiada peluang lagi untuk Ronaldo kekal di Turin.

Juventus juga dilihat sudah mengalah dan bersedia menerima tawaran yuran perpindahan sekitar 25 juta euro (RM126 juta) dari kelab lain untuk mendapatkan Ronaldo.

Malah Ronaldo juga bersedia berdepan pemotongan gaji untuk merealisasikan impian kembali ke United dan melonjakkan semula prestasi kelab itu sebelum bersara bersama kelab pertamanya, Sporting CP.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 11:07 AM