RONALDO menjulang Piala Itali. FOTO AFP
RONALDO menjulang Piala Itali. FOTO AFP
Agensi

Turin: Cristiano Ronaldo sudah memenangi 34 trofi sepanjang kariernya dan itu tidak termasuk pelagai anugerah peribadi yang dimenanginya.

Bintang Portugal itu baru sahaja memenangi Piala Itali bersama Juventus untuk melengkapkan gelaran Grand Slam di Itali.

Kejayaan terbaru diraih Ronaldo itu hadir di sebalik khabar angin dia akan meninggalkan kelab itu selepas berakhir musim ini.

Namun Ronaldo seakan menafikan spekulasi perpindahannya apabila dia dirakam meraikan kejuaraan bersama rakan sepasukan di bilik persalinan.

Gol menerusi Dejan Kulusevski dan Federico Chiesa memastikan Juventus meraih kemenangan 2-1 ke atas Atalanta.

Piala Itali adalah trofi kelima dimenanginya di Itali selepas dua gelaran Serie A dan dua Piala Super Itali.

Dia berjaya memenangi trofi Liga Juara-Juara sebanyak lima kali sepanjang bersama Manchester United dan Real Madrid.

Pemain berusia 36 tahun itu juga menyapu bersih kejuaraan di Sepanyol apabila memenangi dua gelaran La Liga, dua trofi Copa de Reys dan dua Piala Super Sepanyol.

Dia memulakan kariernya dengan memenangi Piala Super Portugal bersama Sporting Lisbon sebelum terus menyerlah.

Selepas berhijrah ke Old Trafford, dia berjaya memenangi tiga gelaran Liga Perdana.

Ronaldo juga memenangi Piala FA serta masing-masing dua Piala Liga dan Piala Sumbangsih.

Dia juga memenangi saingan Euro 2016 bersama skuad kebangsaan Portugal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 11:02 AM