TUCHEL mampu bawa Chelsea julang trofi. FOTO AFP
TUCHEL mampu bawa Chelsea julang trofi. FOTO AFP
AFP

London: Thomas Tuchel merancang untuk menghalang impian Leicester melakar sejarah ketika pengurus Chelsea itu merancang trofi pertamanya pada final Piala FA tengah malam esok di Wembley.

Tuchel menikmati aksi hebat sejak mengambil alih tugas Frank Lampard yang dipecat Januari lalu.

Pengendali dari Jerman itu membawa Chelsea ke final Piala FA dan final Liga Juara-Juara selain turut membawa pasukan itu kembali ke kedudukan empat teratas Liga Perdana.

Memenangi trofi pertama dalam saingan bola sepak Inggeris akan menjadi bukti seterusnya impak Tuchel.

Tapi Leicester dua mata mengatasi Chelsea dalam Liga Perdana akan memberi ancaman terbesar kepada impian Tuchel selepas dipimpin Brendan Rodgers.

Skuad Foxes mahu menang Piala FA buat kali pertama dalam penampilan pertama sejak 1969.

Tiada kelab yang tampil di final Piala FA lebih banyak tanpa menjulang trofi berbanding Leicester, yang tewas empat kali dalam saingan itu.

Sebaliknya, Chelsea memenangi lapan Piala FA yang kali terakhir dimenangi ketika menewaskan Manchester United pada 2018.

Skuad Blues, yang tewas final tahun lalu berdepan Arsenal, akan tampil buat kali keempat dalam tempoh lima tahun terakhir.

Selepas mengatasi pengurus hebat seperti Pep Guardiola, Jurgen Klopp, Jose Mourinho, Diego Simeone, Zinedine Zidane dan Carlo Ancelotti sejak tiba di Chelsea, Tuchel akan berdepan Rodgers buat pertama kali selaku bos Blues.

Tuchel sudah mengesahkan Kepa Arrizabalaga akan memulakan permainan berbanding penjaga gol pilihan utama, Edouard Mendy.

"Dia akan memulakan aksi pada final Piala FA." kata Tuchel. "Kami mempercayainya dan dia memang berhak, itulah asas kenapa kami meletakkannya dalam kesebelasan utama."

Rodgers juga mempunyai cita-cita untuk berada di kedudukan empat teratas buat Leicester namun peluang untuk mencipta sejarah akan menjadi fokusnya di Wembley.

"Kami berhak berada di final dan kami akan tiba dengan peluang mencipta sejarah kami sendiri. Kami rasa ada peluang hebat jika kami bermain di tahap terbaik," kata Rodgers. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 10:45 AM