AB Ghani berkata perkara utama ketika ini adalah memastikan gelembung sukan selamat kepada pemain dan pegawai pasukan. FOTO NSTP
AB Ghani berkata perkara utama ketika ini adalah memastikan gelembung sukan selamat kepada pemain dan pegawai pasukan. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Kelantan FC berkemungkinan boleh dikenakan tindakan susulan jika kes positif Covid-19 dalam kalangan pemain mereka terdapat unsur perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) gelembung sukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata, ketika ini badan pengurusan liga itu sedang melihat dan mengkaji punca dua pemain Kelantan FC dijangkiti pandemik Covid-19.

Walaupun tidak menjelaskan secara terperinci bentuk tindakan yang bakal dikenakan, Ab Ghani berkata, perkara utama ketika ini adalah memastikan gelembung sukan selamat kepada pemain dan pegawai pasukan seterusnya bebas daripada dijangkiti pandemik itu.

"Berkaitan pemain Kelantan FC, kita sedang melihat dan mengkaji bagaimana pemain itu mendapat (Covid-19), kita tidak mahu gelembung sukan ini pecah.

"Kalau berada dalam gelembung dan terkena mungkin tiada tindakan namun jika pemain berkenaan keluar dan sebagainya tanpa mengikut SOP tindakan akan diambil kepada pasukan," katanya.

Sebelum itu, MFL mengesahkan dua pemain Kelantan FC positif Covid-19 menerusi ujian calitan yang dilakukan sebelum perlawanan menentang Selangor 2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya baru-baru ini.

Dua pemain Kelantan FC itu terbabit kini sedang menjalani proses kuarantin di salah sebuah hospital di Petaling Jaya.

Pemain berkenaan terus diasingkan daripada pasukan dan tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Selangor 2 mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan.

Pihak sekretariat MFL sedang meneliti punca kes positif Covid-19 ini berlaku untuk dibawa ke Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan susulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 5:46 PM