Sesi latihan pasukan Perak FC bagi menghadapi saingan Liga Super baru-baru ini. FOTO File Bernama
Sesi latihan pasukan Perak FC bagi menghadapi saingan Liga Super baru-baru ini. FOTO File Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kem Perak FC (PFC) terus bergolak apabila difahamkan pemain dan pegawai pasukan memboikot sesi latihan yang sepatutnya bermula jam 9 malam tadi.

Menerusi maklumat yang diperolehi dari sumber dipercayai, pemain skuad The Bos Gaurus ketika ini sedang berhimpun di depan pintu masuk Stadium Perak yang turut disertai penyokong tegar pasukan.

Menurut sumber, pemain enggan turun berlatih disebabkan oleh tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan pihak pengurusan.

"Sekarang (malam ini) pemain tengah berkumpul depan stadium. Mereka tak mahu berlatih sebagai tanda boikot sebab gaji tak dapat.

"Pihak pengurusan sedang dalam perjalanan untuk berjumpa pemain dan mungkin malam ini akan ada pemain yang menyerahkan surat untuk mohon dilepaskan.

"Apa yang berlaku ini memang tak dijangka kerana pasukan akan bermain menentang Pahang (Sri Pahang) Ahad ini," kata sumber itu yang turut bersama pasukan ketika ini.

Malah, difahamkan ketua pasukan, Shahrul Saad turut akan mengumumkan keluar daripada pasukan dan beberapa tonggak utama juga dijangka mengikut jejaknya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin mahu pengurusan PFC melakukan perubahan segera bagi menyelamatkan maruah pasukan yang ketika ini berada di zon bahaya penyingkiran ke Liga Perdana musim depan.

Malah, difahamkan terdapat spekulasi kemungkinan pemain PFC mahu mengangkat kaki meninggalkan pasukan pada jendela perpindahan pemain ketika ini selepas tidak berpuas hati dengan isu tunggakan gaji ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 11:01 PM