Petaling Jaya: Selepas gagal meraih sebarang kemenangan dalam empat aksi sebelum ini, Perak FC bangkit untuk menuai tiga mata penuh apabila menewaskan Petaling Jaya City (PJ City) 0-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, malam tadi.
Kejayaan itu cukup penting buat skuad The Bos Gaurus bagi memperbaiki kedudukan di kelompok bawah Liga Super ketika ini.
Bagaimanapun, bukan mudah untuk menundukkan PJ City apatah lagi beraksi dalam keadaan padang becak menyukarkan pergerakan pemain-pemain di atas padang ekoran hujan lebat pada sebelah petang.
Pelawat yang kali terakhir melakar kemenangan pada 7 April lalu ke atas UiTM berjaya meraih gol pertama menerusi pemain pinjaman dari Sri Pahang FC, Sergio Aguero.
Dia yang berasal dari Argentina berjaya menjaringkan gol hasil percubaan lambung yang gagal dibaca penjaga gol tuan rumah, Kalamullah Al-Hafiz pada minit ke-26.
Skuad kendalian Chong Yee Fatt seharusnya mampu menambah dua jaringan khususnya pada babak kedua, namun ketumpulan jentera depan cukup mengecewakan terutama menerusi Nana Poku yang hanya berdepan Kalamullah pada minit ke-53 gagal menambah gol.
Situasi sama turut berulang dua minit kemudian apabila kali ini tonggak naturalisasi negara, Guilherme de Paula dan Leandro gagal menyempurnakan peluang terhidang.
Kelebihan pelawat itu kekal hingga wisel penamat buat memberi kelegaan kepada kem Perak FC yang turut dipalit krisis tunggakan gaji pemain ketika ini.