PENYOKONG Inter bersorak meraikan kejayaan pasukan kesayangan mereka. FOTO EPA
PENYOKONG Inter bersorak meraikan kejayaan pasukan kesayangan mereka. FOTO EPA
AFP

Milan: Inter Milan mengesahkan kejuaraan Serie A buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun sekali gus menamatkan dominasi sembilan tahun Juventus.

Skuad bimbingan Antonio Conte meraih kejuaraan Scudetto kali ke-19 selepas pesaing terdekat, Atalanta seri 1-1 di Sassuolo sekali gus menyaksikan Inter selesa dengan kelebihan 13 mata ketika berbaki empat perlawanan lagi.

Conte memulakan rekod cemerlang Juventus apabila membimbing kelab itu memenangi tiga kejuaraan pertama sebelum dominasi itu berterusan sehingga tahun 2020.

Pengendali berusia 51 tahun itu mengambil alih tugas di Inter pada 2019 dan menjulang trofi itu selepas membantu kelab muncul naib juara musim lalu.

"Saya terkejut. Kami berjaya memecahkan sebuah dinasti.

"Saya tidak pernah menjangkakan kami mampu menghentikan pasukan yang mendominasi Serie A selama sembilan tahun selama hanya dua musim," kata Conte.

Inter kini muncul pasukan kedua terbanyak memenangi gelaran Serie A, satu mengatasi seteru setempat, AC Milan yang meraih 18 kejuaraan tetapi masih jauh untuk menyamai rekod 36 kemenangan diraih Juventus.

Presiden Juventus, Andrea Agnelli mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatan di Inter, Steven Zhang atas kejayaan pemilik kelab dari China itu.

"Tahniah Steven! Gembira melihat anda dan bangga menjadi lawan setia di atas padang tetapi bersahabat di luar padang. Kami akan kembali," tulis Agnelli di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 8:16 AM