KLOPP akui persaingan musim depan lebih sukar. FOTO EPA
KLOPP akui persaingan musim depan lebih sukar. FOTO EPA
AFP

London: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menjangkakan pilihan juara Liga Perdana musim ini, Manchester City akan lebih sukar untuk ditandingi pada musim depan.

Skuad bimbingan Pep Guardiola semakin hampir untuk memenangi semula gelaran Liga Perdana yang dimenangi oleh Liverpool tahun lalu.

City sudah memenangi Piala Liga musim ini dan berada di landasan tepat untuk melangkah ke pentas final Liga Juara-Juara buat kali pertama selepas menewaskan Paris Saint Germain (PSG) pada aksi separuh akhir pertama.

Menariknya Liverpool berpeluang membantu City untuk mengesahkan kejuaraan jika pendahulu liga itu menewaskan Crystal Palace awal pagi esok dan skuad bimbingan Klopp mengatasi pasukan tangga kedua, Manchester United, esok.

Klopp tidak menjangkakan segala-galanya akan lebih mudah musim depan terutama sekali dengan peningkatan prestasi dipamerkan United dan Chelsea.

"Kami bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku kepada kami. Sejak beberapa tahun lalu kami konsisten melangkah ke separuh akhir dan bersaing merebut kejuaraan liga," kata Klopp.

"Mereka (City) berhak berada di kedudukan sekarang. Inilah bola sepak. Mereka memenangi banyak perlawanan.

"Kami akan mencabar mereka sekali lagi pada musim depan tetapi tahun ini kami hanya mampu menamatkan saingan di kedudukan terbaik dan tidak terbabit dengan sebarang aksi separuh akhir atau final."

"City tidak berhenti dan tidak pernah berhenti memburu kejuaraan. United dan Chelsea juga semakin mempamerkan peningkatan.

Liverpool akan berkunjung ke United esok untuk melakar kemenangan pertama di Old Trafford sejak tujuh tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 8:13 AM