GUARDIOLA puas dapat meraih kejuaraan Piala Liga empat kali berturut-turut. FOTO AFP
GUARDIOLA puas dapat meraih kejuaraan Piala Liga empat kali berturut-turut. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata, kejayaan di depan penyokong lebih bermakna selepas mereka mengalahkan Tottenham 1-0 di Wembley untuk meraih Piala Liga buat kali keempat berturut-turut di depan 8,000 penyokong.

Tandukan Aymeric Laporte ketika aksi berbaki lapan minit membolehkan City muncul juara tatkala Spurs terus kempunan 13 tahun tanpa memenangi sebarang trofi.

Buat kali pertama dalam tempoh 13 bulan, permainan bola sepak di England membenarkan penyokong dari kedua-dua pasukan ke stadium yang menjadikan salah satu acara ujian selepas sekatan Covid-19 dikurangkan.

"Ia tidak penuh, tapi lebih baik. Meraikan bersama mereka adalah lebih baik.

"Kami bermain dengan baik. Kami berasa gembira dapat meraih kejuaraan pertama, empat kali berturut-turut dalam kejohanan ini terutama sekali dalam 33 perlawanan kami berjaya menang 30 kali," kata Guardiola.

Tumpas kepada Chelsea dalam aksi separuh akhir Piala FA hujung minggu lalu bermakna City tidak dapat untuk meraih empat trofi musim ini.

Bagaimanapun, mereka masih lagi berada di landasan terbaik untuk meraih 'treble' apabila akan berentap di separuh akhir pertama Liga Juara-Juara pertama menentang Paris Saint Germain Khamis ini dan berkemungkinan mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini.

Kejayaan itu membolehkan Guardiola mengumpul 25 trofi sepanjang berkhidmat di Barcelona, Bayern Munich dan City, tujuh darinya hadir di bumi England.

"Saya pernah berada dalam kelab gergasi, Barcelona, Bayern Munich dan sekarang di sini, itulah sebabnya ia sangat mudah untuk melakukannya," kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 11:18 AM