Presiden Real Madrid, Florentino Perez. FOTO AFP
Presiden Real Madrid, Florentino Perez. FOTO AFP
AFP

Madrid: Presiden Real Madrid, Florentino Perez menegaskan Liga Super Eropah (ESL) tidak berkubur, tetapi hampir dalam perancangannya.

"Projek itu dalam perancangan. Projek itu wujud, tapi separuh daripadanya sudah keluar, letih dengan apa yang mereka dengar sepanjang 24 jam, sebelum menyatakan mereka tidak mahu meneruskannya," kata Perez.

Perancang mengenainya wujud sekalipun semua enam kelab Inggeris begitu juga Inter Milan, AC Milan dan Atletico Madrid membuat pusingan U kepada kejohanan itu yang hanya perancangannya didedahkan pada Ahad lalu.

Dalam satu temubual bersama stesen radio Sepanyol, Cadena Ser, Perez ditanya adakah salah memikirkan kejohanan berasingan berkenaan sudah terkubur.

"Sememangnya," katanya. "Kami sedang mengusahakannya. Sesuatu yang akan muncul dengan dunia memikirkan ia adalah jalan terbaik."

Real Madrid, Barcelona dan Juventus antara tiga kelab yang masih belum menarik diri.

Perez berkata Barcelona sedang memikirkan mengenainya.

"Saya sangat sedih dan kecewa. Kami sudah mengusahakannya sejak tiga tahun lalu dan berjuang menentang situasi kewangan di bola sepak Sepanyol," kata Perez.

"Saya tidak pernah melihat pencerobohan seperti itu, dari presiden UEFA dan beberapa presiden liga kebangsaan.

"Ia seperti diatur, itu mengejutkan kita semua. Rasanya, saya tidak pernah lihat perkara seperti ini dalam karier saya, ia seperti membunuh bola sepak. Walhal kami sedang berusaha bagaimana menyelamatkan bola sepak."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 11:01 AM