Bekas pemain kebangsaan Olimpik Munich 1972, Harun Jusoh ditemani isterinya, Sharifah Azizah Syed Omar selepas terlantar sakit radang sendi di rumahnya di Batu Buruk, Terengganu. -  Foto NSTP/Malik Muhamad.
Bekas pemain kebangsaan Olimpik Munich 1972, Harun Jusoh ditemani isterinya, Sharifah Azizah Syed Omar selepas terlantar sakit radang sendi di rumahnya di Batu Buruk, Terengganu. - Foto NSTP/Malik Muhamad.
Oleh Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Saya rindu bola sepak. Saya nak lihat pasukan negara dan Terengganu terus cemerlang," demikian reaksi dalam nada tersekat-sekat legenda bola sepak negara yang pernah beraksi dalam Sukan Olimpik Munich, Jerman 1972, Harun Jusoh, 73.

Beliau kini bertarung dengan penyakit radang sendi dan memerlukan penjagaan rapi kerana tidak mampu bergerak dan hanya bergantung sepenuhnya kepada susu khas untuk meneruskan hidup.

Menurut isterinya, Sharifah Azizah Syed Omar, 69, suaminya terlantar sejak lebih sebulan lalu dan kini mengharapkan bantuan untuk menguruskan diri termasuk mandi dan memakai lampin pakai buang.

"Sebelum ini suami menghidap sakit saraf selepas bersara daripada arena bola sepak, namun ketika itu masih berupaya melakukan kerja.

"Namun sejak lebih sebulan lalu keadaan kesihatannya merosot selepas disahkan menghidap radang sendi dan hanya bergantung kepada susu khas sebagai sumber makanan.

"Jadi untuk menguruskan seorang diri mak cik tak mampu, khidmat jururawat disediakan bagi membantu suami di samping anak mak cik.

"Besar harapan mak cik untuk melihat suami pulih selain memohon doa daripada seluruh peminat bola sepak negara," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Che Kundur, Batu Buruk, kelmarin.

Mengulas lanjut, Sharifah Azizah berkata, ketika sihat suaminya jarang berkongsi mengenai sukan bola sepak, namun dia pernah menyatakan hasrat membimbing anak muda Terengganu menjadi pemain bintang dalam sukan itu.

"Suami pernah melahirkan hasrat membantu pemain muda jadi sepertinya kerana dia terlalu sayangkan sukan ini, tapi apakan daya kudratnya kini semakin merosot akibat penyakitnya itu," katanya.

Mengimbas zaman kegemilangannya ketika mewakili pasukan negeri dan kebangsaan, Harun seorang pemain sayap kiri yang lincah dan digeruni pihak lawan.

Jadi tidak hairan beliau menjadi anak pertama Terengganu terpilih mewakili pasukan kebangsaan sebelum adiknya, Allahyarham Yahya yang meninggal pada 2013 mengikut jejaknya mewakili negara.

Sepanjang kariernya, beliau pernah beraksi bersama legenda kebangsaan termasuk Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Ali Bakar, Abdullah Ali, Datuk Soh Chin Aun, R Arumugam, Datuk Santokh Singh dan Datuk Shukor Salleh selain pernah mencipta sensasi ketika beraksi bersama pasukan kebangsaan menewaskan Arsenal 2-0 dan 1-1 dalam dua aksi persahabatan pada Mei 1975.

Selain itu, beliau juga pernah mewakili negara dalam temasya Sukan Sea Rangoon, Myanmar 1969, Sukan Asia Tehran 1974 (mengutip gangsa) dan Sukan Olimpik Moscow 1980 sebelum Malaysia tarik diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 7:10 AM