SEBAHAGIAN peminat setia yang hadir menyaksikan pertemuan Terengganu FC menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Jumaat lalu. FOTO Ghazali Kori
SEBAHAGIAN peminat setia yang hadir menyaksikan pertemuan Terengganu FC menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Jumaat lalu. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Perlawanan Liga Malaysia (Liga M) yang berlangsung pada bulan Ramadan dikenal pasti punca utama kemerosotan jumlah penonton yang hadir menyaksikan pertemuan Terengganu FC (TFC) menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Jumaat lalu.

Selain itu pembelian tiket secara dalam talian juga turut menjadi penyebab peminat tidak memenuhi stadium kerana sukar untuk membeli tiket.

Ini diakui Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh yang jelas kecewa dengan kehadiran peminat setia skuad itu yang tidak sampai separuh daripada jumlah dibenarkan walaupun kali pertama dibenarkan memasuki stadium.

Berdasarkan rekod, hanya 2,918 peminat sahaja yang hadir menyaksikan perlawanan membabitkan pertemuan TFC dengan KL City FC manakala pertemuan skuad 'adik' Terengganu FC II (TFC II) menentang Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Sabtu lalu hanya merekodkan 27 penonton sahaja yang hadir.

"Secara jujurnya saya masih tidak puas hati dengan kehadiran peminat setia pasukan dalam dua pertemuan itu lebih-lebih lagi kali pertama penonton dibenarkan masuk ke stadium selepas lebih setahun tidak dibenarkan bagi membendung wabak pandemik Covid-19.

"Hasil analisis punca utama kerana kaedah pembelian tiket secara dalam talian adalah rumit sekali gus menyebabkan mereka yang tidak tahu untuk menggunakan aplikasi itu tidak akan membelinya.

"Faktor kedua adalah pada bulan puasa, di mana peminat tidak mahu melepaskan peluang untuk solat Tarawih dan ditambah mungkin kekangan daripada segi masa dan sebagainya.

"Bagi mengatasinya kami juga membuka kaunter untuk peminat datang membeli tiket di pejabat TFC selain kami mempromosikan dalam pelbagai saluran, bagaimanapun ia belum mampu menarik minat penonton untuk hadir ke stadium menyaksikan dua perlawanan itu walaupun kita menyediakan sebanyak 6,000 keping tiket sebagaimana yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Kami harapkan pertemuan akan datang peminat dapat memenuhi stadium bagi memberi sokongan padu kepada pemain lebih-lebih lagi TFC dan TFC II kini berada dalam kedudukan terbaik liga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 7:17 PM