REAKSI  Mourinho dan Solskjaer selepas tamat perlawanan di London.
REAKSI Mourinho dan Solskjaer selepas tamat perlawanan di London.
Agensi

London: Pertelagahan Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer membunuh harapan Harry Kane untuk berpindah ke Manchester United pada musim panas ini.

Penyerang Tottenham, Kane dikaitkan dengan Red Devils selepas mengumumkan akan menentukan masa depannya selepas tamat Euro.

SunSport mendedahkan minggu lalu, Pengerusi Spurs, Daniel Levy tidak bersetuju menjual kapten England itu terutamanya kepada pencabar dari Liga Perdana.

Tetapi beberapa laporan menyatakan United masih berminat dengan Kane yang dianggarkan berharga £150 juta (RM852 juta).

Namun kini hasrat itu boleh dilupakan selepas pengurus Tottenham, Mourinho bertelagah dengan pengendali United, Solskjaer susulan kemenangan 3-1 Red Devils pada Ahad lalu.

Kedua-duanya bertikam lidah dalam terowong selepas Mourinho berang dengan komen Solskjaer mengenai penyerang Spurs, Son Heung-min yang didakwanya 'berlakon' mengakibatkan jaringan Edinson Cavani dibatalkan pada babak pertama.

Solskjaer berkata: "Jika anak saya terbaring tiga minit dan dia perlukan 10 rakan membantunya bangun, dia tidak akan dapat sebarang makanan."

Mourinho yang berang membalas: "Saya hanya mahu beritahu Sonny sangat bertuah kerana ayahnya lebih baik berbanding Ole."

Percakaran terbaru itu meningkatkan ketegangan di antara kedua-dua kelab sekali gus menjejaskan impian Kane berpindah ke Old Trafford kerana United tidak berminat berurusan dengan perunding sukar seperi Levy, begitu juga sebaliknya.

Kini United hilang minat ke atas Kane selepas insiden tegang Ahad lalu. Hierarki Red Devils berang dengan reaksi Mourinho dan menganggap bekas pengurus mereka itu hanya mahu mengalihkan tumpuan daripada persembahan buruk pasukannya.

Ini bermakna jika Kane tegas mahu berpindah juga pada musim panas, dia perlu mencari pasukan lain di Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 9:48 AM