Pemain Arsenal, Gabriel Martinelli (tengah) dihalang pertahanan dan penjaga gol Sheffield United pada aksi Liga Perdana. FOTO Agensi
Pemain Arsenal, Gabriel Martinelli (tengah) dihalang pertahanan dan penjaga gol Sheffield United pada aksi Liga Perdana. FOTO Agensi
Agensi

London: Gabriel Martinelli menjaringkan gol pertama dalam barisan utama sejak Januari ketika Arsenal menamatkan rekod empat perlawanan liga tanpa kemenangan dengan membenam Sheffield United, 3-0, pagi ini.

Pemain Brazil itu berdepan masalah kecederaan yang menjejaskan penampilan pada musim ini tetapi dia berada di tempat yang betul untuk meledak gol kedua pasukannya.

Ia adalah jaringan pertama pemain berusia 19 tahun itu sejak Januari 2020.

Ia hadir di antara dua gol dijaringkan Alexandre Lacazette - gol pembukaan pada babak pertama dan penyerang Perancis itu melengkapkan kemenangan selesa Gunners pada minit ke-85 selepas menerima umpanan Thomas Partey.

Sheffield United hanya menang empat perlawanan musim ini dan tidak sejak Paul Heckingbottom mengambil alih tugas pengendali sementara bulan lalu mereka menunjukkan sedikit peningkatan dalam perlawanan.

Ketika ketinggalan 1-0 terdapat beberapa peluang untuk skuad Blades namun gagal disempurnakan sehingga jaringan Martinelli membunuh harapan tuan rumah disusuli gol Lacazette untuk melengkapkan kemenangan bergaya Arsenal.

Kemenangan itu melengkapkan tanpa bolos dalam 15 perlawanan - membolehkan Arsenal berada di atas Leeds dan Aston Villa di kedudukan sembilan dalam carta dengan 45 mata.

Sheffield United pula kekal di kedudukan tercorot dengan 14 mata.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata: "Saya gembira dengan corak permainan kami, menjaringkan gol menarik dan mengawal permainan seperti yang kami mahukan. Kami beraksi di tahap yang tinggi. Sejak dari awal saya rasa pemain bersemangat, kami berjaya memanfaatkannya.

"Ini adalah persediaan terbaik untuk aksi akan datang. Sudah sekian lama tidak mencatat keputusan tanpa bolos."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 12:04 PM