ANTARA aksi Kedah menentang Selangor, Selasa lalu. FOTO Fathil Asri
ANTARA aksi Kedah menentang Selangor, Selasa lalu. FOTO Fathil Asri
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang kini berada dikedudukan kedua carta Liga Super tetap menganggap tugas berat bakal dipikul apabila berdepan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super kelapan di Stadium Darul Aman esok.

Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, meskipun sudah meraih empat kemenangan berturut-turut sebelum ini termasuk menewaskan Selangor 2-1, Selasa lalu, skuadnya sama sekali tidak mahu mengambil mudah perlawanan yang bakal berlangsung laman sendiri kali ini.

"Kemenangan empat kali berturut-turut tidak bermakna kami boleh berasa selesa walaupun beraksi di laman sendiri, malah kami perlu terus bekerja keras dan tidak mahu leka serta ambil mudah dengan mana-mana pasukan sekalipun.

"Tambahan pada kali ini pula kami berdepan TFC, pastinya satu perlawanan yang sengit dan mencabar yang perlu kami tempuhi kerana kami tahu kehebatan TFC mampu melakukan kejutan tidak dijangka sepertimana musim lalu.

"Saya tetap mengingatkan pemain apabila wisel ditiupkan nanti, saya mahu pemain yang tersenarai terus fokus dalam aksi memburu tiga mata serta berjuang sepenuh hati untuk mencapai kemenangan seperti yang diharapkan," katanya.

Aidil juga berkata dengan kehadiran semula penyokong Kedah ke dalam Stadium Darul Aman kali ini, ia bakal memeriahkan perlawanan dan menambahkan lagi semangat pemain untuk beraksi menempuhi perlawanan yang dijangka mencabar itu nanti.

"Sorakan sokongan penyokong di dalam stadium itu nanti akan menyuntik motivasi tambahan buat pemain di laman sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 1:44 PM