PUKKI meledak hatrik pada pertemuan dengan Huddersfield. FOTO Agensi
PUKKI meledak hatrik pada pertemuan dengan Huddersfield. FOTO Agensi
AFP

London: Pendahulu Liga Kejuaraan, Norwich semakin hampir untuk naik ke Liga Perdana Inggeris selepas membelasah Huddersfield 7-0, hari ini dengan Teemu Pukki meledak hatrik.

Skuad bimbingan Daniel Farke hanya memerlukan lima mata lagi daripada baki enam perlawanan untuk kembali ke Liga Perdana selepas tersingkir pada musim lalu.

Norwich boleh mengesahkannya seawal Sabtu ini jika melakar kemenangan di Derby dan keputusan lain memihak kepada mereka.

Norwich meledak lima gol pada separuh masa pertama di Carrow Road dengan Pukki menjaringkan dua gol manakala Emi Buendia, Todd Cantwell dan Kieran Dowell masing-masing satu gol.

Pukki yang juga penyerang Finland meledak hatrik pada separuh masa kedua selepas menyempurnakan sepakan penalti sebelum pemain gantian, Jordan Hugill melengkapkan kemenangan Norwich.

Kemenangan terbesar Norwich musim ini menyaksikan mereka berkelebihan lapan mata berbanding Watford di tempat kedua dan lebih 17 mata berbanding pasukan ketiga liga, Brentford.

Pasukan yang menamatkan saingan di kedudukan pertama dan kedua liga secara automatik akan naik ke Liga Perdana manakala empat kelab lain akan beraksi pada saingan playoff.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 8:21 AM