Pemain pertahanan KDA FC Rizal Ghazali (kiri) mempertahankan kubu Kedah selepas diasak pemain Sri Pahang Herold Goulon pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman. FOTO Ikhsan KDA FC
Pemain pertahanan KDA FC Rizal Ghazali (kiri) mempertahankan kubu Kedah selepas diasak pemain Sri Pahang Herold Goulon pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman. FOTO Ikhsan KDA FC
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar : Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak mengharapkan momentum terbaik skuadnya dapat diteruskan apabila bertemu Selangor FC pada aksi Liga Super ketujuh selasa ini.

Tiga kemenangan berturut-turut yang dicatatkan skuad Hijau Kuning sebelum ini ketika bertemu PJ City FC,UiTM FC dan Sri Pahang FC adalah bekalan terbaik untuk dibawa ke Lembah Klang untuk berdepan skuad The Red Giants.

Aidil Sharin berkata faktor kecergasan setiap pemain menjadi perkara yang sangat penting buat skuadnya bagi memastikan segala perancangan untuk meneruskan misi kemenangan dapat dicapai.

"Dengan jadual padat dengan tiga perlawanan dalam tempoh seminggu ini, kami perlu benar-benar memastikan faktor kecergasan dapat dikekalkan, tambahan pula beraksi di tempat lawan cuma tiga hari selepas perlawanan yang lalu.

"Saya sedar ini bukan laluan yang mudah buat kami kerana lawan kami kali ini pula adalah Selangor FC yang memiliki reputasi juara, namun kami tetap akan berusaha sedaya upaya untuk membuktikan kemampuan yang ada dalam usaha memburu kejayaan seterusnya.

"Jadi, tiada pilihan untuk setiap pemain dan mereka harus bersedia seratus peratus dari segi mental dan juga fizikal bagi menghadapi cabaran hebat dalam tempoh perlawanan-perlawanan ini". katanya.

Dalam pada itu, Aidil juga berkata dengan kemasukan semula penyokong bola sepak ke dalam stadium kali ini bakal memeriahkan lagi suasana serta semangat dalam perlawanan itu nanti.

"Kemasukan semula penyokong ke dalam stadium akan menyuntik semangat tambahan buat semua pasukan yang beraksi dan peluang ini pastinya akan memberi dorongan kepada semua pemain untuk beraksi dengan lebih bersemangat.

"Saya mengharapkan keputusan yang positif dapat kami capai bagi perlawanan kali ini walaupun cabarannya dijangka sengit dengan kehadiran penyokong tuan rumah Selangor FC". katanya.

Selepas mengharungi enam perlawanan Liga Super setakat ini, KDA FC kini menghuni tangga ke-2 di bawah Johor Darul Ta'zim dengan pungutan 13 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 1:20 PM