BRENDAN tidak dapat beraksi disebabkan penggantungan satu perlawanan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BRENDAN tidak dapat beraksi disebabkan penggantungan satu perlawanan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketiadaan tonggak paling berpengaruh di bahagian tengah, Brendan Gan menjelang aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun ini langsung tidak mencemaskan skuad Harimau Malaya.

Sebaliknya, ketiadaan Brendan yang disebabkan penggantungan satu perlawanan ekoran mengumpul dua kad kuning sebelum ini bakal diisi oleh beberapa tonggak lain di posisi itu.

Antara pemain yang berpotensi adalah tonggak naturalisasi kedua negara, Liridon Krasniqi yang kini beraksi bersama kelab Australia, Newcastle Jets selain dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Nazmi Faiz Mansor, Syamer Kutty Abba dan Daniel Amir.

Menurut pengendali negara, Tan Cheng Hoe, sepanjang kem latihan di Pusat Latihan JDT itu menyaksikan beliau mencuba kombinasi baharu termasuk jentera tengah bagi memastikan 'jantung' pasukan tetap mantap walaupun tanpa ketiadaan Brendan khususnya pada aksi getir berdepan UAE nanti.

"Kita kena cari pengganti Brendan, memang kita ada cuba beberapa pemain opsyen untuk ganti Brendan dan kita nampak macam Nazmi, Daniel dan Syamer Kutty ada di situ.

"Malah, Azam Azih juga ada dan itu memberi kita suasana yang terbaik dalam latihan, dan sudah tentu kita harapkan juga Liridon yang akan dipanggil bersama dengan kita nanti dan harap suasana bahagian tengah ini, kita dapat selesaikan masalah," katanya.

Berdasarkan lima aksi peringkat kumpulan Kelayakan sebelum ini, Brendan yang juga pemain Selangor FC dilihat kerap digandingkan bersama pemain Sri Pahang FC, Azam Azih.

Gandingan kedua-duanya cukup menyerlah dengan berjaya membantu skuad negara mencatat keputusan positif antaranya dengan menundukkan Indonesia dua kali di laman Jakarta 3-2 dan 2-0 serta menundukkan Thailand 2-1 dengan kedua-duanya di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketika ini skuad Harimau Malaya menduduki tangga kedua kumpulan dengan sembilan mata di belakang Vietnam yang mengumpul 11 mata, sementara Thailand, UAE dan Indonesia masing-masing di tempat ketiga hingga kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 3:07 PM