REEZAL Merican berkata kehadiran penyokong bola sepak ke stadium sekali gus dapat menyemarak lagi saingan Liga Malaysia. FOTO Bernama
REEZAL Merican berkata kehadiran penyokong bola sepak ke stadium sekali gus dapat menyemarak lagi saingan Liga Malaysia. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selamat kembali ke stadium, pemain ke-12! Selepas berhempas pulas termasuk membuat permohonan dan rayuan, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican boleh dikatakan antara individu yang paling gembira dan lega dengan pengumuman kebenaran kehadiran penonton ke stadium oleh kerajaan.

Menerusi kenyataan media di Facebook miliknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semua menteri, ahli mesyuarat, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Perdana Menteri Tan Seri Muhyiddin Yassin atas kelulusan dan kepercayaan yang berikan kepada komuniti sukan bagi membenarkan kehadiran penonton bermula secara beransur-ansur.

Beliau berkata, kehadiran penonton secara terkawal, teratur dan dengan jumlah yang tertentu adalah hasrat dan permintaan pihak penganjur Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan juga penggiat sukan tanah air.

Katanya, kehadiran penyokong bola sepak ke stadium sekali gus dapat menyemarak lagi saingan Liga Malaysia menerusi pematuhan standard operasi prosedur (SOP) yang sudah ditetapkan.

"Seperti yang diumumkan, kehadiran penonton ke stadium atau venue di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), adalah dengan jumlah 10 peratus kapasiti penonton atau 2,000 orang, mana yang lebih rendah dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa.

"Manakala di kawasan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) pula, kehadiran penonton yang dibenarkan adalah sebanyak 25% daripada kapasiti penonton atau 8,000 orang, mana yang lebih rendah dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa juga.

"Kebenaran ini adalah berkuatkuasa 1 April depan, dengan dua perlawanan bola sepak dalam Liga Malaysia (MFL) yang akan dibenarkan dahulu sebagai percubaan atau Proof of Concept (POC) untuk menilai keberkesanan Protokol Pengurusan Penonton," katanya.

Sebelum itu, penyokong bola sepak negara akhirnya boleh melepaskan kerinduan masing-masing untuk menonton perlawanan Liga Malaysia secara langsung apabila kerajaan membenarkan kemasukan penonton ke stadium berdasarkan kapasiti venue dan status terkini kawasan masing-masing.

Ahli jawatankuasa mesyuarat menerusi persetujuan KKM membenarkan kehadiran penonton ke stadium menerusi SOP yang ketat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 9:45 PM