Reezal Merican bercakap pada sidang media Majlis Pelancaran Logo NHDP. FOTO Bernama
Reezal Merican bercakap pada sidang media Majlis Pelancaran Logo NHDP. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi bayangan akan ada berita positif bakal diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kebenaran penonton ke stadium dalam sidang medianya, esok.

Beliau, berkata pihaknya sudah pun membentangkan protokol pengurusan penonton kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam.

"Pasukan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) selepas membuat pembentangan mendapat reaksi yang positif. Rakan-rakan dalam mesyuarat juga memberi sokongan yang penuh.

"Saya tidak mahu mendahului pengumuman esok tetapi Insya Allah penyokong akan diberi pertimbangan," katanya ketika ditemui selepas hadir melakukan pemantauan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Katanya, untuk permulaan dua stadium akan dipilih sebagai proses percubaan bagi kebenaran kemasukan penonton.

"Apa yang menyukarkan saya adalah untuk meyakinkan MKN dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia). Saya mahu bawa mereka ke stadium untuk melihat sendiri apa yang berlaku di stadium.

"Selepas itu, saya fikir tidak lagi sukar. Dua stadium itu nanti akan ditentukan dalam masa terdekat," kata Reezal.

Beliau, berkata jumlah kehadiran penonton ditetapkan sebanyak 10 peratus daripada kapasiti stadium.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 10:33 PM