Safawi Rasid (tengah) dikawal pemain UiTM FC pada saingan Liga Super, Sabtu lalu. FOTO Ihsan Johor Southern Tiger
Safawi Rasid (tengah) dikawal pemain UiTM FC pada saingan Liga Super, Sabtu lalu. FOTO Ihsan Johor Southern Tiger
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tonggak skuad kebangsaan, Safawi Rasid digugurkan dalam senarai awal pemain untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang akan diadakan di Johor Bahru bermula 22 Mac ini.

Hal ini bermakna kemungkinan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu perlu berehat seketika berikutan kecederaan yang dialaminya ketika beraksi menentang UiTM FC, Sabtu lalu.

Menerusi kenyataan media Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengekalkan 17 pemain daripada skuad 23 pemain Harimau Malaya bagi dua aksi terakhir kelayakan sebelum ini iaitu bertemu Thailand dan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada November 2019.

Bagi melengkapkan senarai 28 pemain yang menyertai kem latihan nanti, Cheng Hoe menyenaraikan 11 pemain iaitu dua penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC) dan Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC), Rizal Ghazali (Kedah Darul Aman FC), Irfan Zakaria (Kuala Lumpur City FC), Faisal Halim (Terengganu FC), Nazmi Faiz Mansor (JDT), Shahrel Fikri Md Fauzi (Selangor FC) dan Fazly Mazlan (Sri Pahang FC).

Selain itu, Cheng Hoe turut mempertaruhkan muka baharu iaitu bintang muda JDT, Ramadhan Saifullah Usman, Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk) dan pemain naturalisasi ketiga negara, Guilherme de Paula (Perak FC).

Enam pemain lain tidak disenaraikan bagi kem latihan pusat kali ini membabitkan penjaga gol, Haziq Nadzli, Dominic Tan, Syazwan Andik Ishak, Baddrol Bakhtiar, Azzizan Nordin serta Safawi.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata, keputusannya tidak memanggil dua lagi pemain yang beraksi di luar negara iaitu Liridon Krasniqi dan Junior Eldstar berikutan terdapat beberapa kesukaran untuk mereka menyertai kem latihan Mac ini.

"Saya tidak memanggil dua lagi pemain yang beraksi di kelab luar negara iaitu Liridon (Newcastle Jets) dan Junior (Chonburi FC) kerana tempoh kuarantin untuk masuk ke Malaysia dan kembali ke Australia dan Thailand menjadi kesukaran untuk mereka menyertai kem latihan pusat kali ini.

"Lagipun kedua-dua pemain ini saya lihat sedang meningkatkan persembahan dan prestasi masing-masing bersama kelab baharu mereka ini.

"Jadi saya kira lebih baik mereka menyertai kem latihan pusat pada Mei nanti dengan prestasi yang lebih baik selepas mendapat aksi minit permainan di Liga Australia dan Thailand.

"Bagi Luqman pula, memang dari tahun lalu kita rancang nak panggil dia sertai kem latihan pusat ini. Jadi ini peluang terbaik untuk kita melihat tahap fizikal, keyakinan dan corak permainannya selepas lebih enam bulan bersama KV Kortrijk di Belgium," katanya.

Dalam pada itu, enam pemain diletakkan dalam senarai menunggu, jika terdapat mana-mana daripada 28 pemain yang berada dalam senarai dipanggil kali ini disahkan mengalami kecederaan oleh doktor pasukan.

Mereka terdiri daripada penjaga gol, Samuel Somerville (Penang FC), Rodney Celvin Akwensivie (Kedah Darul Aman FC), Arif Fadzilah Abu Bakar (Terengganu FC), Shahrul Nizam Ros Hasni (Terengganu FC), S Kumaahran (Melaka United FC) dan Darren Lok (PJ City FC).

Cheng Hoe turut menyatakan bahawa kemudahan lengkap yang dimiliki Kelab Bolasepak JDT menjadi faktor utama kem latihan pusat kali ini diadakan di Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 9:36 PM