KLOPP mahu membentuk semula pasukannya. FOTO AFP
KLOPP mahu membentuk semula pasukannya. FOTO AFP
Agensi

London: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dilaporkan bersedia untuk menjual empat pemain berstatus bintang dari skuad utama pada hujung musim ini dalam usahanya membentuk semula pasukan bagi kempen 2021/22.

Liverpool tidak agresif pada jendela perpindahan tahun lalu apabila meletakkan kepercayaan kepada barisan pemain sedia ada yang memenangi trofi Liga Juara-Juara serta Liga Perdana.

Bagaimanapun segala-galanya tidak menjadi musim ini terutamanya apabila Liverpool gagal mempertahankan kejuaraan liga.

Keutamaan Klopp ketika ini adalah untuk memastikan Liverpool memperoleh tiket beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.

Kegagalan untuk mara ke pentas Eropah menyaksikan Liverpool mungkin akan kehilangan beberapa pemain berstatus bintang.

Bagaimanapun tidak kira penamat kelab itu, Klopp sudah bersedia untuk menjual empat pemain yang membarisi skuad utama.

The Sunday World melaporkan Joel Matip, Alex Oxlade-Chamberlain, Xherdan Shaqiri dan Divock Origi adalah pemain yang akan dilepaskan jika Liverpool menerima tawaran menarik.

Sementara itu, terdapat persoalan juga sama ada Mohamed Salah akan kekal bersama Liverpool terutamanya jika kelab itu gagal layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Gergasi La Liga, Real Madrid dan Barcelona kedua-duanya berminat mendapatkan penyerang Mesir itu.

Bagaimanapun Sunday World melaporkan Klopp akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan Salah kekal di Anfield.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 10:52 PM