BARISAN pemain Perak FC meraikan kejayaan menewaskan Sri Pahang, Rabu lalu. FOTO FB Perak FC
BARISAN pemain Perak FC meraikan kejayaan menewaskan Sri Pahang, Rabu lalu. FOTO FB Perak FC
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Perak FC merasakan bahang saingan yang sukar tetapi yakin untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC esok.

Ketua Jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt mengakui prestasi skuad penyu itu berada pada tahap terbaik namun pasukannya tetap akan mencuba yang terbaik untuk mengekalkan momentum kemenangan.

"Terengganu dilihat pasukan yang kuat kerana mereka juga berada di tangga atas, tetapi pada masa yang sama kami juga mahu mengekalkan prestasi.

"Memang kita melihat tentangan skuad TFC pada perlawanan kali ini agak sukar tetapi kita yakin dan cuba yang terbaik untuk mengutip tiga mata penuh pada perlawanan esok," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yee Fatt berkata, kemenangan skuad The Bos Gaurus menentang Sri Pahang Rabu lalu diharap menjadi penyuntik semangat untuk mengekalkan momentum kemenangan.

"Saya harap kemenangan itu dapat menjadi penyuntik semangat dan momentum baik itu dapat diteruskan pada perlawanan esok dan pemain dapat memainkan peranan masing-masing.

"Selepas persiapan yang dibuat oleh pemain, jika tiada halangan bagi perlawanan esok, saya yakin kita boleh mendapat mata penuh," katanya.

Tambah Yee Fatt, situasi pemain akan dilihat pagi esok bagi menentukan samada kesemua kesebelasan pemain akan turun padang bermain pada perlawanan berkenaan.

"Saya berharap kesebelasan pemain yang bermain di Pahang akan dapat bermain esok," katanya.

Terdahulu skuad bimbingan Yee Fatt itu mencatat kemenangan pertama pada saingan Liga Super selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-0 di Stadium Darul Makmur, Rabu lalu.

Kejayaan itu ternyata memberi suntikan semangat kepada Perak selepas sekadar seri tanpa jaringan menentang PJ City.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 8:26 PM