KLOPP yakin jika Liverpool gagal ke Liga Juara-Juara musim ini mereka tidak perlu menunggu dalam tempoh lama untuk kembali semula ke kejohanan berkenaan. FOTO AFP
KLOPP yakin jika Liverpool gagal ke Liga Juara-Juara musim ini mereka tidak perlu menunggu dalam tempoh lama untuk kembali semula ke kejohanan berkenaan. FOTO AFP
AFP

London: Jurgen Klopp menegaskan asas kukuh yang kuat sudah dibina di Liverpool bagi memastikan kelab berkenaan tidak perlu berdepan kemarau panjang gagal menyertai Liga Juara-Juara.

Klopp sedang berjuang untuk menyelamatkan Liverpool di musim yang suram ini agar kelab berkenaan mampu berada dalam kelompok empat terbaik sekali gus layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Mereka sekarang ini empat mata di belakang pasukan tangga keempat Chelsea selepas lima kali berturut-turut tumpas di gelanggang sendiri.

Jika Liverpool tidak dapat menamatkan saingan di kelompok empat terbaik, penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu perlu melayakkan diri dalam saingan kelab elit Eropah itu dengan muncul juara Liga Juara-Juara musim ini.

Mereka sekarang ini berjaya memenangi perlawana pertama 2-0 ke atas Leipzig dalam saingan 16 akhir.

Bagaimanapun, tanpa mengambil kira nasib Liverpool musim ini, Klopp yakin juara Liga Juara-Juara enam kali itu tidak lagi perlu menunggu lama seperti sebelum ini iaitu enam musim bermula 2010/11 mereka hanya beraksi di Liga Europa ataupun langsung tidak layak.

"Kelab ini tidak akan kerap gagal ke Liga Juara-Juara, tahun ini sangat sukar kita pun tahu namun potensi serta kekuatan pasukan adalah sangat berbeza.

"Saya tidak tahu pasukan yang 10 tahun lalu namun kami sudah bersedia untuk bertarung dalam era ini dan dengan pasukan yang ada sekarang.

"Setiap musim ada momentum tersendiri dan tahun ini kami tidak mampu meraihnya, ia adalah benar namun kami berada dalam keadaan yang baik.

"Dalam situasi yang sukar tapi kami berada pada kedudukan lebih baik berbanding kelab lain. Saya sebenarnya tidak mahu fikir akan yang sudah berlaku tapi apa yang boleh saya katakan tidak ada siapa perlu risau mengenai masa hadapan.

"Ini kerana ia berada dalam keadaan baik dan mempunyai pasukan yang bagus. Jadi ia lengkap untuk mempunyai kekuatan asas bagi masa depan," kata Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 9:28 AM