Pemain kelahiran Ivory Coast, Dechi Marcel (kiri) bakal menggantikan Petrus Shitembi yang terpaksa dilupakan kerana mengalami kecederaan serius. FOTO Ihsan TFC
Pemain kelahiran Ivory Coast, Dechi Marcel (kiri) bakal menggantikan Petrus Shitembi yang terpaksa dilupakan kerana mengalami kecederaan serius. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) bakal menyenaraikan pemain import pasukan 'adik', Terengganu FC II (TFC II), Dechi Marcel bagi menggantikan Petrus Shitembi yang terpaksa dilupakan kerana mengalami kecederaan serius.

Ketiadaan Shetembi bakal memberi impak kepada taktikal dan percaturan pasukan kerana kapten skuad kebangsaan Namibia itu antara nadi penggerak pasukan bersama pemain import kelahiran Mali, Makan Konate selain kian serasi bersama pasukan.

Ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain bagaimanapun tidak resah sebaliknya percaya pemain tempatan mampu menggalas tugas yang ditinggalkan bekas pemain Sabah itu dengan perancangan yang rapi sebelum bertembung dengan pasukan UiTM di Stadium UiTM Shah Alam malam esok.

"Selain pemain tempatan, TFC mempunyai pilihan untuk menggunakan khidmat pemain tengah TFC II, Marcel yang baharu ditandatangani pada Rabu lalu.

"Namun ianya belum diputuskan lagi kerana Marcel baharu sahaja menjalani latihan bersama TFC bermula petang semalam, tapi dengan semangat juang yang tinggi pemain diharapkan keputusan positif mampu diraih pada aksi pertama malam esok," katanya.

Terdahulu TFC terpaksa melupakan khidmat Shitembi kerana mengalami kecederaan serius di bahagian ligamen lutut ketika aksi pemanas badan di Johor pada dua minggu lalu dan perlu berehat panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 5:59 PM