KESSIE (kanan) berjaya menjaringkan gol penyamaan buat Milan ketika berdepan Udinese. FOTO AFP
KESSIE (kanan) berjaya menjaringkan gol penyamaan buat Milan ketika berdepan Udinese. FOTO AFP
AFP

Milan: Franck Kessie menjaringkan gol pada minit ke-97 menerusi sepakan penalti untuk menyelamatkan AC Milan dengan mencatat keputusan seri 1-1 ketika berdepan Udinese di laman sen.

Keputusan berkenaan membolehkan pendahulu Serie A, Inter Milan gah dengan kelebihan enam mata.

Tandukan Rodrigo Becao pada separuh masa kedua di San Siro berjaya menumpaskan penjaga gol Milan, Gianluigi Donnarumma pasukan yang dibimbing Stefano Pioli itu kelihatan hampir kalah buat kali ketiga selepas empat perlawanan.

Bagaimanapun, bola yang terkena tangan pemain gantian Udinese, Jens Stryger Larsen seakan memberikan talian hayat kepada Milan, dengan Kessie mudah menyempurnakan penalti.

"Penalti bukannya mudah. Apabila anda berada di situ, anda hanya ada dua pilihan, tidak perlu berasa takut atau tidak yakin, jika tidak semuanya akan gagal.

"Saya langsung tidak takut dan berjaya menjaringkan gol," kata Kessie.

Milan dilihat bergelut untuk mencipta peluang jaringan selepas kehilangan penjaring terbanyak, Zlatan Ibrahimovic, selepas pemain antarabangsa Sweden itu berdepan kecederaan pangkal paha ketika berdepan AS Roma hujung minggu lalu.

Sementara itu, Robin Gosens, Jose Luis Palomino, Luis Muriel, Josip Ilicic dan Aleksei Miranchuk kesemuanya menjaringkan gol untuk membantu Atalanta mengalahkan kelab paling bawah Crotone 5-1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 9:23 AM