DR Mohad Anizu. FOTO NSTP
DR Mohad Anizu. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus mengorak langkah khususnya dalam bidang bola sepak apabila menjalin kerjasama pintar dengan Persekutuan Sains Bolasepak dan Prestasi Antarabangsa (ISSPF), baru-baru ini.

Menerusi kerjasama itu, ISSPF akan menyediakan dan berkongsi ilmu berkaitan kesihatan dan keselamatan seperti kejurulatihan bola sepak, perubatan dan prestasi profesional serta latihan bola sepak menerusi pembelajaran atas talian kepada pelajar.

Menurut Dekan FSR, Prof Madya Dr Mohad Anizu Mohd Nor, setiap pelajar akan didedahkan dengan senario sebenar bola sepak dunia, di mana setiap kursus akan dikendalikan oleh individu-individu profesional dalam industri.

Antara pakar yang akan berkongsi maklumat dan perkembangan bola sepak moden adalah pakar akademik, saintis sukan, jurulatih, pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Negara serta kelab-kelab terhebat seperti Manchester United, Boca Juniors, Millionares, Chelsea, Trabzonspor, Besiktas, Leicester City, Dynamo Moscow, Napoli, Benfica, FC Rennes, Porto dan banyak lagi.

"Saya gembira kerana kami dapat menjalinkan kerjasama hebat ini dengan ISSPF. Saya yakin bahawa ini bukan sahaja dapat mendorong fakulti bergerak maju dari segi pendidikan berimpak tinggi yang berterusan, tetapi juga membolehkan kita menawarkan akses kepada komuniti sukan Malaysia ke kandungan pendidikan bertaraf dunia.

"Sebagai penyedia pendidikan sains sukan, kami bangga dengan hubungan kami dengan komuniti dan kerjasama ini akan membolehkan kami meningkatkan kualiti dan menyediakan pelajar dengan bola sepak sebenar yang bertaraf global.

"Pelajar FSK dari semua peringkat pengajian bukan sahaja akan didedahkan dengan standard amalan terbaik domestik, malahan antarabangsa. Ini adalah inisiatif yang hebat, dan saya gembira kerana UiTM dapat menyumbang kepada revolusi pendidikan bola sepak di Malaysia dan Asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 11:08 PM