HAMIDIN (dua kanan) menyampaikan cenderahati kepada Perdana Menteri. FOTO FB FAM
HAMIDIN (dua kanan) menyampaikan cenderahati kepada Perdana Menteri. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Delegasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diketuai oleh presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi berkongsi agenda terkini dalam merencanakan hala tuju industri bola sepak tempatan.

Dalam pertemuan yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri, Hamidin mengambil kesempatan memberi maklumat terkini mengenai status dan jadual skuad kebangsaan serta persiapan menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) bermula Mac ini.

Jelas Hamidin, beliau menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Muhyiddin atas kesudian meluangkan masa membincangkan beberapa agenda penting dalam menentukan masa depan bola sepak negara di tengah-tengah penularan wabak Covid-19.

"Kami membentangkan dengan lebih terperinci mengenai status terkini pasukan kebangsaan serta kalendar perlawanan Harimau Malaya untuk 2021.

"Dalam pada itu, kami turut membentangkan mengenai status Liga-M berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) susulan pandemik Covid-19.

"Kami juga membincangkan inisiatif keperluan vaksin bagi memudahkan keluarga bola sepak tempatan meneruskan saingan Liga-M musim ini di sebalik kebimbangan terhadap jumlah kes positif Covid-19," kata Hamidin.

Hamidin juga menjelaskan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sentiasa membantu dalam mendukung usaha membangunkan dan kelangsungan industri bola sepak.

Selain itu, FAM turut memaklumkan mengenai perkembangan terkini projek pembinaan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan (NTC) di Putrajaya.

Pada pertemuan itu, Hamidin ditemani Naib Presiden FAM merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Sementara menunggu sepak mula Liga-M yang dijadualkan pada 5 Mac ini selepas menerima kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kelab-kelab kini dibenarkan menjalani latihan mengikut model gelembung sukan dengan pematuhan SOP yang ketat.

Muhyiddin turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Hamidin selepas dilaporkan media tempatan kemenangan tanpa bertanding dalam mengekalkan kerusi selaku Presiden FAM untuk penggal 2021-2025.

Kemenangan itu akan disahkan dalam Kongres FAM ke-57 pada Mac nanti.

Turut dibincangkan kaedah menangani cabaran buat pengendali kemudahan sukan komersial untuk futsal dan bola sepak yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 6:47 PM