TFC antara pasukan yang lega dapat kembali menjalani latihan. FOTO FB TFC
TFC antara pasukan yang lega dapat kembali menjalani latihan. FOTO FB TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua Pegawai Eksekutif, Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh menarik nafas lega selepas pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) dibenarkan berlatih di padang seperti biasa mulai Isnin ini.

Katanya, kelonggaran yang diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membolehkan pasukan lebih bersedia menghadapi kejohanan yang bakal bermula pada 5 Mac depan.

Bagaimanapun beliau mengharapkan semua pemain dan pegawai perlu serius mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak MKN bagi mengelak berlaku sebarang kluster membabitkan pemain.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada pasukan menjalankan program latihan berpusat atau secara kuarantin dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa Isnin depan.

Latihan itu membabitkan pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL).

"Kami menarik nafas lega selepas kerajaan khususnya Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membenarkan aktiviti sukan ini dalam tempoh PKP.

"Kebenaran ini membuka ruang kepada pasukan TFC membuat persiapan lebih rapi bagi menghadapi saingan Liga M yang akan bermula tidak lama lagi selain memulihkan kembali industri bola sepak Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Namun saya tegaskan semua pihak termasuk pemain perlu mengambil berat SOP yang digariskan bagi memastikan tidak berlaku perkara diingini selain meletakkan harapan tinggi pemain dapat mengekalkan prestasi dan tahap kecergasan masing-masing kerana tempoh perlawanan sebenar tidak sampai sebulan sahaja lagi," kata Ab Rasid menerusi kenyataan media TFC Sdn Bhd hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 7:37 PM