GIGNAC menyempurnakan sepakan penalti untuk membolehkan Tigres mencatat kemenangan 1-0 mengalahkan Palmeiras. FOTO AFP
GIGNAC menyempurnakan sepakan penalti untuk membolehkan Tigres mencatat kemenangan 1-0 mengalahkan Palmeiras. FOTO AFP
AFP

Al-Rayyan: Tigres berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Kelab Dunia selepas berjaya mengalahkan Palmeiras 1-0 dalam aksi separuh akhir kejohanan berkenaan di Qatar.

Sepakan penalti Andre Pierre Gignac lapan minit selepas rehat sudah cukup untuk kelab Mexico itu mengalahkan gergasi Brazil, Palmeiras, yang meraih kejuaraan kedua Copa Libertadores bulan lalu.

Penjaga gol Palmeiras, Weverton berjaya mencuri tumpuan pada separuh masa pertama dengan menyelamatkan dua percubaan merbahaya namun dia tidak mampu untuk menghalang sepakan penalti deras Gignac.

Gol kemenangan Gignac menyaksikan dia sudah mengumpul tiga gol dalam dua perlawanan apabila bekas penyerang Marseille itu meledak dua gol ketika mencatat kemenangan 2-1 ke atas Ulsan Hyundai dalam pusingan sebelum ini.

Tigres menjadi pasukan pertama dari CONCACAF berjaya layak ke perlawanan akhir Piala Kelab Dunia.

Mereka dijangka berdepan Bayern dalam perlawanan akhir Khamis ini, apabila juara Eropah itu dilihat tidak berdepan masalah mengalahkan wakil Mesir, Al Ahly dalam satu lagi perlawanan separuh akhir awal pagi esok.

"Kami sangat bangga dengan apa yang kami lakukan. Kami memang bekerja keras untuk tugasan ini dan tidak percaya. Kami tahu semua orang menangis disebabkan kejayaan ini. Kami mahu menghadiahkan kepada mereka," kata pemain Tigres, Carlos Gonzalez

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 2:19 PM