JUVENTUS mahu mengekalkan Ronaldo sehingga 2023. FOTO EPA
JUVENTUS mahu mengekalkan Ronaldo sehingga 2023. FOTO EPA
Agensi

Turin: Juventus bersedia menawarkan kontrak lumayan kepada Cristiano Ronaldo yang menyaksikannya akan kekal bersama kelab itu sehingga usia 38 tahun.

Di sebalik bakal mencecah usia 36 tahun esok, sensasi Portugal itu tidak menunjukkan tanda berkarat apabila sudah meledak 19 gol daripada 20 penampilan di saingan Liga Juara-Juara dan Serie A musim ini.

Kontrak semasa Ronaldo dengan gaji £540,000 (RM3 juta) seminggu akan berakhir pada musim panas 2022.

Bagaimanapun Tutto Sport mendakwa, Juventus akan cuba mengekalkan Ronaldo untuk tempoh setahun lagi kerana mereka percaya dia masih kekal menjadi aset utama meskipun ketika itu bakal berusia 38 tahun.

Laporan itu dipetik berkata, ejen Ronaldo, Jorge Mendes belum mengadakan perbincangan tetapi kontrak awal sudah dirangka.

Keinginan Ronaldo untuk meraih kejayaan masih tinggi selepas dia dilihat kecewa ketika dikeluarkan pada aksi separuh akhir Piala Coppa Italia bertemu Inter Milan, Selasa lalu.

Perkembangan terbaharu itu sekali gus menafikan hasrat Real Madrid, Paris Saint-Germain dan Man United yang berminat mahu mendapatkan khidmatnya.

Tahun lalu Ronaldo mendedahkan dia mahu kekal beraksi di pentas tertinggi sehingga berusia 40 tahun.

Ketika ditanya berapa lamakah dia mampu beraksi, Ronaldo membalas: "Bergantung kepada perasaan dan motivasi saya. Dari sudut fizikal, saya tidak berdepan sebarang masalah."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 9:55 PM