VILLAS Boas ingin meletak jawatan sebagai pengendali Marseille. FOTO AFP
VILLAS Boas ingin meletak jawatan sebagai pengendali Marseille. FOTO AFP
AFP

Marseille: Andre Villas Boas digantung tugas oleh Marseille selepas beliau ingin meletakkan jawatan sebagai jurulatih kelab Ligue 1 itu berikutan tidak berpuas hati dengan pembelian pemain tengah, Olivier Ntcham dari Celtic.

"Keputusan ini tidak dapat dielakkan berikutan sikap yang ditunjukkan beliau sehingga memberi imej buruk kepada Olympique de Marseille," jelas kelab berkenaan dalam satu kenyataan.

Ia adalah langkah pertama Marseille yang sudah pasti akan berpisah dengan pengendali berusia 43 tahun dari Portugal itu.

Sebelum itu Villas Boas berkata, beliau tidak mahu apa-apa dari Marseille termasuk wang ringgit dan hanya mahu beredar.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas Ntcham menyertai Marseille secara pinjaman sehingga hujung musim.

Ntcham hanya beraksi sekali bersama Celtic sejak Oktober dan Villas Boas berkata, beliau tidak berminat dengan keputusan berkenaan dan tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

"Jendela perpindahan tutup dengan kehadiran pemain baru pada hari terakhir. Ia bukan keputusan yang dibuat oleh saya. Saya tidak ada kena mengena dengan keputusan itu.

"Saya mengetahuinya selepas bangun pagi dan melihat berita. Saya sudah pasti akan berkata tidak dengan pengambilan pemain itu dan dia tidak berada dalam senarai kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 8:50 AM