ROONEY kini pengurus Derby. FOTO AFP
ROONEY kini pengurus Derby. FOTO AFP
Agensi

London: Pengurus Derby, Wayne Rooney dilaporkan bersetuju menangguhkan pembayaran sebahagian gajinya bernilai £90,000 (RM500,000) seminggu untuk memastikan barisan pemainnya dibayar gaji.

Kelab Liga Kejuaraan itu berdepan krisis kewangan sementara menunggu proses pengambilalihan kelab oleh juatawan Sheikh Khaled.

Persetujuan dicapai untuk menjual kelab itu oleh pemilik semasa, Mel Morris pada November tahun lalu dan proses itu masih berjalan sehingga kini.

Morris dikatakan enggan mengeluarkan wang dari poketnya untuk kelab itu semasa proses pengambilalihan.

The Mail melaporkan Rooney mengambil keputusan untuk membantu kelab.

Menerusi kontrak selaku pengurus selama dua tahun setengah, beliau memberitahu kelab untuk menangguhkan pembayaran sebahagian gajinya bagi membolehkan gaji setiap pemain dibayar.

Gaji skuad itu pada Disember lalu tidak dibayar mengikut masa yang ditetapkan.

Rooney ketika ditanya mengenai situasi kelab pada minggu lalu menegaskan beliau tidak akan berundur dan mahu terus memberi keutamaan kepada barisan pemainnya.

"Ia tempoh yang sukar untuk pemain dan saya juga tidak dapat membeli pemain pada jendela perpindahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 11:02 PM