HAMIDIN akui FAM perlu melakukan perancangan cukup teliti dalam mendapatkan persetujuan MSN. FOTO NSTP
HAMIDIN akui FAM perlu melakukan perancangan cukup teliti dalam mendapatkan persetujuan MSN. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyambut baik keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membenarkan pasukan negara menjalani kem latihan pusat dan akan segera melakukan gerak kerja termasuk mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak terbabit antaranya Majlis Sukan Negara (MSN).

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perbincangan bersama pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga M) bagi tujuan penyediaan venue latihan dan pelepasan pemain turut akan diadakan dalam masa terdekat.

"Dengan mengambil kira kem latihan pusat ini perlu diadakan secara kuarantin, kami perlu melakukan perancangan cukup teliti dalam mendapatkan persetujuan MSN terutama dari segi tempat tinggal dan juga kemudahan padang latihan sebelum dapat membuat ketetapan tarikh kem latihan pusat untuk diadakan.

"Banyak perkara lain turut perlu dipertimbangkan antaranya pelepasan pemain memandangkan kelab-kelab Liga M juga dalam persiapan menjelang sepak mula Liga Super dan Liga Perdana 2021 pada penghujung Februari. Kami akan maklumkan dalam masa terdekat ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam kenyataannya mengesahkan skuad Harimau Malaya diberi kebenaran menjalani kem latihan pusat menggunakan pendekatan kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, dalam masa terdekat.

Menurut Reezal, MSN mempunyai fasiliti dan kemudahan yang sesuai untuk melakukan persiapan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 pada Mac depan.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bakal bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi pada 25 Mac dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 30 Mac.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 9:28 PM