MOUNT (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
MOUNT (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

London: Frank Lampard berasa lega melihat barisan pemain Chelsea kembali melakar kemenangan menerusi gol tunggal Mason Mount ketika menewaskan Fulham 1-0, hari ini.

Chelsea menduduki tempat ke-10 sebelum sepak mula selepas hanya melakar satu kemenangan daripada enam perlawanan terakhir sekali gus menyaksikan kedudukan Lampard selaku pengurus terjejas.

Bagaimanapun kad merah yang dilayangkan ke atas pemain Fulham, Antonee Robinson pada babak pertama memberikan harapan kepada anak buah Lampard untuk melakar kemenangan.

Chelsea bagaimanapun masih bergelut untuk mencari gol namun rembatan rendah Mount minit ke-78 akhirnya memberikan kemenangan kepada pelawat.

"Kami tidak boleh berasakan segala-galanya sudah selesai kerana kami mahukan kemenangan lagi.

"Saya sering katakan kami sedang melalui proses transisi dan kemajuan. Kami sedar terdapat barisan pemain baharu dan sedang mencari jalan penyelesaian tetapi dalam masa sama, kami perlu mendapatkan mata.

"Ia adalah permulaan yang baik daripada laluan yang sukar," katanya.

Mount terus meyakinkan Lampard di sebalik melakar rekod perpindahan kelab bagi mendapatkan Kai Havertz dari Bayer Leverkusen.

"Mount perlu menjaringkan lebih banyak gol dan dia tahu mengenainya. Dia adalah seorang pemain yang mempunyai kualiti dan bijak," kata Lampard.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 8:22 AM