STEELE wira Brighton. FOTO AFP
STEELE wira Brighton. FOTO AFP
Agensi

Wales: Penjaga gol Brighton, Jason Steele muncul sebagai wira apabila menyelamatkan empat sepakan penalti untuk membantu pasukannya melakarkan kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 ke atas Newport dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Rodney Parade selepas perlawanan terikat 1-1.

Steele menyelamatkan percubaan Josh Sheehan, Mickey Demetriou, Liam Shephard dan Scot Bennett bagi menyaksikan Brighton mengecewakan pasukan League Two itu.

Penjaga gol Brighton sebelum itu dipersalahkan apabila membenarkan Newport menyamakan kedudukan pada minit keenam masa kecederaan ketika dia cuba menyepak keluar bola Adam Webster yang akhirnya masuk ke gawang sendiri.

Brighton yang juga pasukan Liga Perdana itu menyangkakan mereka meraih kemenangan pertama dalam semua pertandingan sejak November kerana jaringan Solly March pada minit ke-90 meletakkan mereka di depan.

Manakala penjaga gol Newport, Tom King beraksi cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya lawan sehingga memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti di mana dia akhirnya tewas walaupun berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti.

"Saya amat berbangga semangat luar biasa yang ditunjukkan pemain dan kami membawa pasukan Liga Perdana hingga ke penalti. Saya tidak boleh minta lebih banyak," kata bos Newport Michael Flynn.

"Kami berlatih sepakan penalti dan tidak melepas satu pun. Tapi ini adalah perlawanan dan anda perlu mengucapkan tahniah kepada penjaga gol mereka. Dia penyelamat berkelas tinggi.

"Pemain mempunyai masa sehingga Selasa ini untuk menerima kekalahan ini dan kami perlu terus berjuang kerana mahu naik liga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 8:26 AM