JDT meraikan kejayaan menjulang Piala Liga Super 2020
JDT meraikan kejayaan menjulang Piala Liga Super 2020
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persediaan rapi pasukan Liga Super untuk menghadapi saingan musim 2021 tidak berupaya menggugat juara tujuh kali Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dijangka terus cemerlang mempertahankan kejuaraan.

Itu pandangan pemerhati bola sepak yang berpendapat pasukan lain mungkin hanya boleh merebut kedudukan kedua selain mengharapkan tuah menyebelahi mereka kelak.

Hanya empat pasukan sahaja yang berpotensi memberikan saingan kepada JDT selain mampu menyinar iaitu Selangor, Terengganu, Perak dan UiTM.

Jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah berkata, hasil pemerhatiannya mendapati kedudukan JDT sukar digugat memandangkan mempunyai barisan pemain mantap selain kejurulatihan dan pusat latihan sistematik.

Beliau berkata, JDT hanya melakukan penambahbaikan terhadap pasukan dalam menempuh saingan liga 2021, namun dilihat masih lagi gah untuk terus mengekalkan rentak kemenangan yang dikecapi musim lalu.

"Kita boleh lihat barisan pemain JDT sudah bersama dalam tempoh lama sekali gus mampu membentuk keserasian antara mereka.

"Pemain di bangku simpanan juga diakui hebat dan tidak mempunyai masalah untuk menurunkan skuad kedua mereka," katanya.

Selain itu, Selangor, Terengganu, Perak dan UiTM juga harus diberikan perhatian oleh pasukan lain memandangkan mereka kini giat menyiapkan barisan pemain menerusi 'adunan' jurulatih baharu.

"Sebagai contoh Selangor, mereka bakal membariskan muka baharu yang kebanyakan adalah pemain muda dan menggunakan kepakaran atau jurulatih baharu daripada Jerman.

"UiTM pula terkenal sebagai 'pembunuh pasukan gergasi' dan semua mengetahui bahawa jurulatihnya Frank Bernhardt bijak menyusun pemain yang ada.

"Perak dan Terengganu pula, saya lihat akan mempamerkan prestasi konsisten berikutan mengekalkan pemain lama mereka dan ini penting untuk membentuk keserasian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 10:52 PM