Curran Ferns
Curran Ferns
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beberapa bekas pemain import Melaka United dikatakan hilang sabar dan mahu membawa kes tunggakan gaji ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) untuk tindakan lanjut.

Antara yang terkesan dengan situasi terbabit adalah Curran Ferns dan Romel Morales.

Menurut sumber, Persatuan Bolasepak Melaka (Musa) masih mempunyai tunggakan gaji enam bulan membabitkan Morales yang tidak dibayar sejak setahun lalu.

Katanya, ketika ini Morales masih lagi melakukan perbincangan bersama Musa bagi mencari jalan terbaik supaya tunggakan gaji berkenaan dapat diselesaikan.

"Saya dimaklumkan bahawa Musa mempunyai tunggakan gaji enam bulan yang masih lagi belum dibayar walaupun mereka menjanjikan akan berbuat demikian dengan segera.

"Morales memahami situasi semasa dengan keadaan pandemik Covid-19 namun sampai bila mahu menunggu lebih-lebih lagi dia masih lagi tiada pasukan untuk musim depan.

"Kes membabitkan Ferns pula dikhabarkan sudah dibawa ke Fifa dan ketika ini hanya menunggu keputusan lanjut berkaitan perkara itu," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, sebelum ini Melaka dilaporkan sudah menyelesaikan tunggakan gaji membabitkan skuad utama dan belia pada Ogos tahun lalu.

Khabar gembira terbabit jelas sekali meniup semangat pasukan berkenaan yang kini dalam misi mahu berada dalam kedudukan terbaik di saingan Liga Super selain menyusun semula pembangunan akar umbi.

Naib Presiden Musa Mohd Ashiq Abd Samad dilaporkan berkata, semua tunggakan gaji membabit pemain pasukan utama dan pembangunan termasuk Piala Presiden sudah selesai.

Menurutnya, tunggakan gaji membabitkan skuad Piala Presiden adalah yang terakhir diselesaikan pada minggu lalu dengan peruntukan kira-kira RM800,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 10:22 PM